KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,470 kes positif baharu Covid-19 dengan tiga kematian direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kes itu, menjadikan 322,409 kes kumulatif dengan kes sembuh sebanyak 1,830 iaitu 304,492 kes kumulatif.
Beliau berkata, daripada kes baharu, sebanyak 12 kes import melibatkan lapan warganegara dan empat bukan warganegara manakala kes tempatan pula 1,458 kes iaitu 1,099 warganegara dan 359 bukan warganegara.
Katanya, kes aktif ialah 16,711 kes manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi sebanyak 162 kes.
Bagi kes harian terbaharu tertinggi, Dr. Noor Hisham berkata, Selangor masih teratas iaitu sebanyak 551 kes (37.5 peratus).
“Daripada jumlah ini, sebanyak 473 kes (85.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 222 kes (15.1 peratus) dan Pulau Pinang 178 kes (12.1 peratus),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 89 kes (6.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (49 kes), Kluster DTI Persiaran Wawasan (29 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (lapan kes), Kluster Tembok Mempaga (dua kes), dan Kluster Tembok Taiping (satu kes).
Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satu di Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu.
“Ketiga-tiga kes merupakan warganegara dan KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.
Mengenai maklumat berkaitan kluster, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, jumlah kluster yang direkodkan sebanyak 1,234 dengan dua kluster baharu.
Jumlah kluster yang telah tamat sehingga kini berjumlah 808 kluster termasuk 16 kluster yang tamat iaitu Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Jalan Dua Belas, Kluster Lorong Sahabat, Kluster Laman Desaru, Kluster Jalan Bagan, Kluster Jalan Gombak, Kluster Kandi Sungai Besi, Kluster Jalan Pulai 55, Kluster Tapak Bina Jalan Lagoon, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Ladang Baturong, Kluster Tapak Bina Perdana Avenue, Kluster Tapak Bina Casuarina, Kluster Tapak Bina Damanlela, Kluster Jalan i-Park Satu, dan Kluster Jalan Lengkok Satu. – MalaysiaGazette