PUTRAJAYA – Datuk Hamidin Mohd Amin sekali lagi kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2021 hingga 2025.
Beliau mempertahankan kerusi panas yang diterajui sejak tahun 2018 i dalam keputusan pemilihan yang diumumkan dalam Kongres Tahunan FAM kali ke-57 2021 di sini hari ini.
Turut menang tanpa bertanding adalah jawatan dua Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan juga Datuk S. Sivasundaram.
Sebelum ini, Datuk Subahan Kamal dalam kenyataan pada 27 Februari lalu mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden FAM kali ini.
Turut menang tanpa bertanding adalah dua ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.
Pada 11 Februari lalu, pencalonan untuk jawatan nombor satu itu menyaksikan Hamidin tidak dicabar sekaligus memastikan beliau menang tanpa bertanding untuk jawatan berpenggal lima tahun itu.
Hamidin juga pernah menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama sebelum ini pada tahun 2018 dan beliau merupakan presiden ketujuh FAM kali ini.
Beliau juga difahamkan mencipta sejarah muncul sebagai orang pertama yang menjadi Presiden FAM daripada kalangan orang biasa.
Enam presiden yang menerajui FAM sebelum ini adalah terdiri daripada Perdana Menteri, menteri Kabinet serta kerabat raja.
Sejak menerajui FAM selama tiga tahun lalu, Hamidin berjaya membawa beberapa perubahan drastik dan holistik dalam pembangunan bola sepak negara apabila memperkenalkan Pelan Hala Tuju FAM F:30 yang mahu meletakkan pasukan Harimau Malaya dalam kelompok lima pasukan terbaik Asia pada tahun 2030.
Dalam Kongres pagi ini, pemilihan jawatankuasa menyaksikan lima calon merebut empat kerusi Naib Presiden manakala 17 calon bersaing untuk 8 jawatan AJK Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025.
Senarai penuh barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2021-2025:-
Naib Presiden FAM 2021-2025
1.Datuk Seri Rosmadi Ismail – 36 undi
2.Mohd Joehari Mohd Ayub – 35 undi
3.Mohd Firdaus Mohamed-32 undi
4.Datuk Posa Majais -30 undi
Ahli Jawatankuasa Eksekutif:
Datuk Mohd Hisamudin Yahaya -28 undi
Datuk Jefferey Low Han Chau – 34 undi
Christopher Raj Aralanthu – 25 undi
Datuk Seri Shahril Mokhtar-25 undi
ACP (B) Md Dali Wahid – 25 undi
N.Saaran -31 undi
Datuk Adly Shah Ahmad Tah – 21 undi
Syed Yazid Syed Omar-25 undi
-MalaysiaGazette