KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan beberapa program bawah inisiatif Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin bagi membantu anak muda kota yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara yang dilancarkan hari ini ialah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota (PUAMK) Wilayah Persekutuan yang dibangunkan di bawah Cakna Keusahawanan dengan kerjasama beberapa agensi bawah kementerian itu.
Menurut beliau, sehingga Khamis lalu, sebanyak 319 lot niaga Usahawan Anak Muda Kota (UMK) telah ditawarkan di Wilayah Persekutuan, di mana 64 daripadanya adalah bagi UMK Putrajaya menerusi lot niaga di bawah Perbadanan Putrajaya (PPj).
“Bagi pelaksanaan PUAMK Putrajaya, sasaran sebanyak 118 lot niaga secara keseluruhan disediakan kepada anak-anak belia Putrajaya yang telah bermula sejak November tahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 64 lot niaga UMK Putrajaya yang ditawarkan itu melibatkan 30 lot niaga di Tapak Niaga Belia di Hot Spot Presint 14; lima di Food Truck, Hot Spot Presint 14; empat lot niaga Kios Merah di Persiaran Perdana, Presint 2; satu lot niaga Kios 8B di Persiaran Perdana, Presint 3; 12 unit push cart di Dataran Wawasan, Presint 2; dan 12 unit gerai Akie Burger di pelbagai Presint.
Sementara itu, sebanyak 22 lot niaga Walk Bazar di Nadi@15, Presint 15 akan dibuka pada April ini dan 10 lagi lot niaga Kios UMK pada Mei.
Kata Annuar, 65 lot niaga UMK sedang dalam perancangan dan pembinaan meliputi pelbagai lokasi iaitu lapan unit Kios Presint 6 dan Dataran Putra Presint 1; tujuh unit di Putrajaya Sentral, Presint 7; lima unit di Kompleks Kejiranan Presint 14; masing-masing empat unit di Kompleks Kejiranan Presint 18 dan di Kompleks Kejiranan Presint 5.
Lima unit lagi dalam perancangan dan pembinaan di Medan Selera Baharu Presint 8, diikuti enam unit di Residensi Presint 19, tiga unit Costa Coffee (drive thru dan food truck), 23 unit di bawah Yayasan WP iaitu 21 unit di Box Park Presint 14 dan, 1 kios PUAMK dan 2 kios Laman Duta.
Jelas beliau, penambahan selain daripada keseluruhan 118 lot niaga UMK Putrajaya yang disasarkan itu juga akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan kesesuaian lokasi strategik lain yang akan dikenalpasti oleh PPj.
“Sejak diumumkan Julai lalu, program PUAMK WP Putrajaya telah menerima sambutan memberangsangkan bukan sahaja daripada warga Wilayah Persekutuan Putrajaya, tetapi juga dari kawasan berhampiran.
“Namun, keutamaan diberikan kepada warga Putrajaya khususnya golongan belia yang berusia 18 hingga 35 tahun dan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan aktiviti perniagaan akibat kesan pandemik Covid-19.
“Bagi mengurangkan masalah bebanan sewaan lot niaga akibat kekurangan pelanggan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya telah mengarahkan PPj untuk mempertimbangkan pengecualian atau pengurangan sewaan sehingga 50 peratus bagi tempoh tiga hingga enam bulan bergantung kepada jenis dan premis perniagaan serta kadar sewaan yang mana ianya telahpun dilaksanakan,” ujarnya.
Menurut Annuar, beliau berkesempatan membuat tinjauan salah satu lot niaga UMK iaitu Kios Merah di Persiaran Perdana, Presint 2 hari ini untuk beramah mesra dan melihat sendiri perniagaan seorang pengusaha yang turut mendapat pengecualian sewaan sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Julai ini.
Beliau berharap, pelaksanaan program itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda di lokasi yang strategik sekitar Wilayah Persekutuan, di samping memperkasakan usahawan mikro untuk lebih berdaya saing dalam menghadapi norma baharu. – MalaysiaGazette