MERSING – Selain petugas barisan hadapan (frontliners), kerajaan harus mengambil kira golongan pekerja tempatan yang bekerja di negara jiran, Singapura, sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 terawal bagi membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Covid-19 Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon berkata, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana keadaan ekonomi mereka sudah semakin teruk.
“Sejak Malaysia menutup pintu keluar negara, mereka yang seramai lebih kurang 300,000 orang terus hilang punca pendapatan dan tidak dapat mencari rezeki untuk menyara hidup yang hampir semua telah berkeluarga.
“Sekarang Singapura telah pun membuka pintu masuk untuk semua pekerja dari Malaysia tetapi dengan syarat mereka wajib mempunyai dokumen telah disuntik vaksin.
“Persoalannya, bila mereka boleh terima suntikan tersebut sedangkan keadaan ekonomi mereka semakin parah dan tertekan dengan keadaan semasa seperti belanja dapur, sekolah anak-anak dan juga rumah sewa atau hutang bank,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru semalam.
Menurut Michael, kedatangan pekerja-pekerja ini ke pejabatnya amat menyedihkan setiap kali mendengar keluhan pelbagai masalah yang dibangkitkan.
Jelasnya lagi, hampir semua pekerja itu telah mendaftar untuk terima suntikan vaksin agar dapat kembali bekerja di Singapura namun sukar untuk beliau menjawab bila mereka boleh dipanggil untuk disuntik.
“Saya dan mereka faham dos suntikan sangat terhad tetapi sampai bila harus menunggu dipanggil sedangkan keadaan pekerja-pekerja ini semakin parah dari sehari ke sehari.
“Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin harus menjawab persoalan ini dan maklumkan kepada rakyat kenapa kita lambat terima vaksin Covid-19 ini dan bila rakyat boleh disuntik,” ujarnya.
Tambahnya lagi, rakyat tidak boleh terus mengharapkan bantuan kerajaan kerana ia tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.
“Bantuan yang diberi memang membantu tetapi hanya untuk sehari dua sahaja.
“Ia tidak sama dengan pendapatan dari hasil gaji yang diterima daripada pekerjaan mereka.
“Sehubungan itu, saya merayu kepada kerajaan agar memberi keutamaan juga kepada pekerja-pekerja ini sebagai penerima vaksin awal demi mambantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Jelasnya Michael lagi, masalah ini tidak boleh ditangguh kerana ia melibatkan ratusan ribu pekerja yang mempunyai pekerjaan tetap di Singapura dan mereka juga mempunyai tanggungjawab yang besar. – MalaysiaGazette