KUALA LUMPUR – Pemilik rumah boleh menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mendapatkan pengesahan pengenalan diri pemasang meter pintar bagi mengelak penyamaran oleh pihak tertentu bagi tujuan tidak baik.
Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata mengikut prosedur, setiap pemilik kediaman yang terlibat dengan pemasangan meter pintar akan menerima notis sebelum pemasangan dilakukan sebagai langkah pemakluman dan temu janji.
“Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 sekiranya mereka ragu-ragu dan ingin mendapatkan pengesahan,“ katanya kepada Bernama.
Justeru, katanya pemilik rumah berhak dan wajib menghalang mana-mana petugas pemasangan meter pintar yang meragukan, tidak memakai pakaian seragam atau menunjukkan kad pengenalan diri.
Beliau berkata, setiap petugas pemasangan meter pintar itu juga diwajibkan memakai pakaian seragam berwarna oren dan vest serta perlu menunjukkan kad pengenalan diri yang membuktikan mereka adalah kontraktor pemasangan meter pintar TNB.
“Mereka terdiri sama ada dalam kalangan kakitangan TNB sendiri atau kontraktor yang dilantik,” kata Mohamed Ghous.
Menurut beliau bacaan meter pintar juga adalah tepat dengan setiap meter diuji serta ditentukur berdasarkan piawaian oleh SIRIM; mematuhi Akta Timbang dan Sukat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; serta menerima sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Sistem komunikasi meter pintar pula disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan meter pintar dalam usaha kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat dan dilaksana di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). – MalaysiaGazette