KUALA LUMPUR – Jangan salahkan golongan muda jika mereka tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik atau berpolitik pada masa depan disebabkan sikap pemimpin rakus berpolitik.
Pemerhati politik, Prof Dr Teo Kok Seong yang memberi amaran itu berkata, tingkah laku ahli politik telah menyebabkan politik diberi definisi kotor oleh golongan muda.
Lantaran itu, definisi tersebut perlu dibersihkan dengan akhlak dan moral serta jati diri yang tinggi oleh ahli-ahli politik.
Menurut beliau, pemimpin politik sekarang terlalu berpolitiking sehingga mendorong mereka menjadi pemimpin yang tidak formal.
“Macam peniaga, kita tidak boleh kalau kita mereka jangan ambil untung sebab itu nature orang berniaga. Begitu juga dengan ahli politik, berpolitiking juga nature mereka.
“Tetapi bukan gila atau rakus kuasa, lompat parti, jual parti – semua ini menunjukkan sifat pemimpin yang tidak formal.
“Sepatutnya mana-mana pemimpin yang dipilih rakyat perlu mengutamakan rakyat dan negara bukan kelangsungan diri atau peribadi sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Oleh itu, seorang pemimpin yang dipilih perlu bijak untuk menjadi ahli politik yang baik dengan menyeimbangkan antara seorang pemimpin formal dan tidak formal.
Menurutnya, bukan sahaja golongan muda yang dilihat semakin menjauhi politik tetapi sebilangan rakyat meluat dengan ahli-ahli politik yang terlalu berpolitiking terutama ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.
Sepatutnya dalam darurat ini, semua pemimpin menunjukkan kesungguhan dan fokus menangani penularan wabak kerana itulah matlamat darurat.
“Fikirkan kesejahteraan rakyat dan negara, jangan asyik berpolitik,” pesan Teo lagi. – MalaysiaGazette