KUALA LUMPUR – Lay Hong Berhad (Lay Hong) akan memberi kerjasama dan pematuhan sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan memperkukuhkan amalan dan pemantauan kawalan ladang berikutan pengesanan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telurnya yang dieksport dari salah sebuah ladangnya di Jeram.

Pengarah Eksekutif Lay Hong Berhad, Datuk Yap Chor How berkata, keutamaan syarikat adalah keselamatan pelanggan.

“Kami kini bekerjasama rapat dengan DVS untuk menyiasat dan memantau ladang yang berkaitan dengan pengesanan SE,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malah, menurutnya, kumpulan itu bersetuju untuk menggantung ladang Jeram 1, yang mana pengeluaran ladangnya dieksport ke Singapura.

”Ladang Jeram 1 kini digantung dari kedua-dua ladang pasaran eksport dan domestik sehingga siasatan oleh DVS selesai,” tambah beliau.

Pada masa ini, semua ladang lain di Jeram 2 hingga 6 telah diuji negatif SE dan dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan dipisahkan antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.

Yap berkata, syarikat ini yakin dapat menangani insiden ini dengan kawalan dan pemantauan kukuh pada masa depan. – MalaysiaGazette

Telur dari ladang CES 008 Lay Hong tidak dijual di pasaran tempatan