KUALA LUMPUR- Seramai 127 individu di Gombak telah dikompaun RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua individu terbabit dikenakan kompaun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu pada 11 hingga 14 Mac lalu.
“Kesalahan yang banyak dikenakan kompaun pada tarikh tersebut membabitkan rentas negeri tanpa kebenaran di Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Gombak.”
“Kebanyakan mereka datang dari arah Pantai Timur menuju ke Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Arifai, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dilaksanakan sejak 13 Januari lalu hingga semalam sebanyak 934 kompaun telah dikeluarkan pihaknya.
Pada 11 Mac lalu, kerajaan telah melaksanakan kompaun RM10,000 kepada mana-mana individu yang melanggar SOP di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021. – MalaysiaGazette