IPOH – Kekecohan yang berlaku pada Konvesyen DAP Perak ke-19 semalam hanya melibatkan pertengkaran mulut dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan berlaku melibatkan anggota perwakilan DAP semasa konvesyen berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh, pada kira-kira pukul 11 pagi.
Beliau berkata konvesyen berkenaan merupakan sebuah acara tertutup dan pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran program itu.
“Hasil pemantauan mendapati jumlah kehadiran dan kapasiti dewan adalah memenuhi SOP PKPB. Kekecohan berlaku semasa perjalanan atur cara konvesyen berkenaan adalah berbentuk pertengkaran mulut dan keadaan berjaya dikawal tanpa berlaku kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
A. Asmadi berkata bagaimanapun, satu laporan polis telah dibuat berkaitan kesalahan melanggar SOP PKPB semasa kekecohan berlaku.
Semalam, dilaporkan berlaku sedikit kekecohan pada konvesyen DAP itu, ekoran wujudnya dakwaan pengundi hantu memilih ahli ke Jawatankuasa Negeri dan isu tempoh pengundian yang tiba-tiba dilanjutkan.
— BERNAMA