KUALA LUMPUR – Tiga negeri ditukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada PKP Pemulihan (PKPP) mulai Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam negeri masih kekal PKPB dan tujuh lagi kekal dengan PKPP.
Katanya, tiga negeri bertukar status kepada PKPP itu ialah Kedah (kecuali daerah Kuala Muda dan Kulim kekal PKPB), Perak dan Negeri Sembilan (kecuali Seremban).
Manakala enam negeri kekal PKPB ialah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak, manakala negeri kekal dengan status PKPP ialah Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan.
Bagaimanapun, kata beliau, rentas negeri masih kekal dalam larangan, kecuali aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke kawasan PKPP menerusi konsep gelembung perjalanan pelancongan dalam negara.
“Negeri PKPB yang ditukar kepada PKPP berikutan Kementerian Kesihatan merekodkan penurunan kes menyebabkan zon merah telah bertukar kepada zon hijau.
“Manakala negeri yang kekal dengan PKPB ialah disebabkan jumlah zon merah di negeri berkenaan tidak menurun,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua status itu, sama ada pelanjutan PKPB dan bertukar status PKPP akan berkuatkuasa 19 hingga 31 Mac ini, kecuali Sarawak dari hari ini hingga 29 Mac ini. – MalaysiaGazette