Tuan Ibrahim Tuan Man dan Amirudin Shari menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan kerjasama antara Air Selangor dan IWK di sini hari ini.
KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bekerjasama untuk memulakan inisiatif kitar semula air yang lestari.
Kerjasama itu disokong oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bakal menyatukan operator air terbesar Malaysia dan syarikat kumbahan nasional melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd (Central Water).
Central Water merupakan sebuah syarikat usaha sama yang mana 60% saham dimiliki oleh Air Selangor dan 40 peratus pula oleh IWK.
Usahasama itu akan menyatukan kepakaran IWK dan Air Selangor.
Rawatan bio-efluen yang dirawat di loji rawatan IWK akan dibekalkan kepada Central Water untuk dirawat dengan lebih lanjut di loji rawatan Central Water yang dilengkapi dengan
teknologi terkini untuk menghasilkan air terawat yang tidak boleh diminum dan selamat untuk kegunaan industri.
Air terawat yang tidak boleh diminum ini akan dihasilkan oleh Central Water dan akan diagihkan oleh Air Selangor melalui jajaran paip khas kepada industri perniagaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk kegunaan industri yang bukan
berasaskan makanan dan minuman serta dan kegunaan pertanian.
Air Selangor berkata, projek itu adalah yang pertama bagi Central Water dengan operasi air pulih guna yang akan dilaksanakan di lojinya yang terletak di Setia Alam, Selangor, yang boleh menghasilkan 4.0 juta liter air terawat yang tidak boleh diminum sehari (JLH) dengan pelan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran loji kepada 7.5 JLH.
Kolaborasi itu akan membuka lebih banyak peluang untuk membangunkan kegunaan air pulih guna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, loji rawatan di Setia Alam, Air Selangor dan IWK juga telah mengenal pasti kerjasama lain yang berkaitan dengan loji rawatan IWK termasuk lojinya di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam.
Majlis menandatangani perjanjian serta surat kerjasama telah disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin  Shari.
Kerjasama yang sama akan mengoptimumkan sumber-sumber air negara sambil memelihara alam sekitar dan menekankan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembinaan industri air Malaysia yang lestari.
Ia seterusnya mendukung sasaran Kerajaan Malaysia dalam mengitar semula 33% daripada efluen dirawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017 – 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast