KUALA LUMPUR – Memberi gelaran ‘pelacur’ kepada rakan seagama dan bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bukan perbuatan yang baik, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, sebaliknya berkata, sebagai Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sewajarnya memberi nasihat ke arah mengeratkan hubungan bersama Pas dan mengukuhkan lagi MN.
Tetapi, katanya, Ahli Parlimen Gua Musang yang dikenali sebagai Ku Li itu meniupkan lagi api permusuhan dengan menyamakan gelaran tidak baik kepada Pas.
“Tak eloklah gelar begitu kepada rakan seagama. Pas tidak kenal pelacur, tetapi hanya yang biasa langgan pelacur sahaja kenal pelacur,” katanya dalam sidang media di Kedah hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ku Li dalam wawancara dengan sebuah portal berita baru-baru ini yang melabelkan Pas sebagai ‘pelacur politik’ yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam wawancara itu, Ku Li menyifatkan tindakan Pas dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai bukti parti itu tidak boleh dipercayai.
Menurut Muhammad Sanusi, kenyataan itu bercanggah dengan budaya harmoni dua parti tersebut yang menjalinkan kerjasama menerusi MN sejak tahun 2019.
Beliau menganggap kenyataan itu hanya mewakili peribadi pemimpin veteran berkenaan bukan UMNO keseluruhannya.
“Saya difahamkan dia akan bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti nanti dan kemungkinan ia dibuat untuk membina naratif dalam kalangan ahli untuk menyokongnya,” katanya. – MalaysiaGazette