ACP Osman Mamat

TAIPING – Tawar skim pelaburan tidak wujud menggunakan nama bank bagi menjerat mangsa.

Itulah taktik yang berjaya dibongkarkan pihak polis susulan penahanan seorang bekas pegawai bank di Taming Sari di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bertindak atas laporan seorang pekerja hospital swasta pada Januari lalu pihak polis menahan wanita berusia 39 tahun itu.

Tangkapan dibuat pada jam 3.45 petang oleh pegawai penyiasat kes Inspektor T. Selvakumar.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek menjanjikan pulang 47 peratus sekiranya mangsa menyertai skim pelaburan yang ditawarkan sebuah bank yang juga tempat kerjanya.

“Mangsa membuat bayaran secara berperingkat sebanyak RM90,000 bermula Februari 2019 hingga Jun tahun lalu.

“Bagaimanapun sehingga Disember lalu mangsa tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan sebelum pergi ke bank bagi mendapatkan penjelasan dan ketika itu baru terbongkar mangsa diperdaya oleh suspek,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Osman, hasil siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang pelaburan seperti dinyatakan suspek.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

“Kita mohon individu  yang pernah mangsa  penipuan suspek tampil membuat laporan agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Osman turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan helah skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlebihan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast