Muhammad Fakhri dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera bayi lelaki berusia tujuh bulan.

Tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhri sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bawah mata dan perut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di L-07-07, Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place, Butterworth di sini kira-kira jam 9 malam  pada 6 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mahkamah menetapkan 16 April depan sebagai tarikh menjatuhi hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin.

Kesan pendarahan pada bawah mata bayi berusia tujuh bulan dipercayai didera.

MalaysiaGazette pada 9 Mac lalu melaporkan seorang pembantu kedai ditahan selepas disyaki mendera bayi lelakinya dalam satu kejadian di Apartmen Luminari.

Perbuatan wanita berusia 25 tahun itu terbongkar selepas bayi yang dalam penjagaannya dihantar ke rumah suaminya pada Sabtu lalu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai kekasih kepada ibu bayi berkenaan bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.