DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman bermula esok, Kerajaan Negeri Pahang akan menggerakkan misi bantuan segera bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan untuk 850 keluarga mencukupi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga ADUN Tioman menjadi tonggak menggerakkan misi bantuan tersebut.

Selain itu beberapa agensi lain turut terlibat secara langsung untuk menjayakan misi bantuan bagi memastikan kebajikan penduduk pulau itu terjaga.

Kerajaan negeri, menurut Wan Rosdy, berharap dengan ada bantuan segera itu, penduduk tidak terkesan teruk dengan langkah PKPD yang dilaksanakan demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Tindakan Sosial Pahang serta beberapa yang lain, akan turut dilibatkan secara aktif.

“Keutamaan dan keprihatinan kerajaan Negeri ialah pada aspek kesihatan dan kebajikan penduduk di pulau tersebut yang melibatkan 860 Ketua Isi Rumah (KIR) atau keluarga kesemuanya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Rosdy juga berharap bantuan tersebut  dapat menjamin kebajikan penduduk sentiasa terpelihara dalam mengharungi tempoh PKPD selama 14 hari bermula sehingga 29 Mac kelak.

“Saya berharap, penduduk terbabit dapat bersabar serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Tioman ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di pulau itu.

Setakat ini seramai 16 orang disahkan positif Covid-19. – MalaysiaGazette