KUALA LUMPUR – Pemain sayap negara, Safawi Rasid meluahkan rasa tidak sabar untuk kembali beraksi di atas padang sekaligus membantu kelabnya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Safawi, 24, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat terhadapnya dan menegaskan dia kini berada dalam keadaan baik.
Safawi melalui detik cemas pada perlawanan Liga Super menentang UiTM FC minggu lalu apabila dia mengalami kecederaan lutut dan terpaksa dikeluarkan pada minit ketujuh.
Pada awalnya, ramai beranggapan Safawi mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) namun setelah pemeriksaan dijalankan kecederaannya tidak serius seperti yang dijangkakan.
Bekas pemain Portimonense SC di Liga Portugal itu akan berehat selama dua hingga ke tiga minggu.
Kecederaan lutut yang dialami Safawi turut menyisihkan dia daripada kem latihan pusat yang akan diadakan dalam masa terdekat sebagai persiapan menjelang baki aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Tempat Safawi dalam pasukan negara digantikan oleh rakan sepasukan JDT iaitu Ramadhan Saifullah. – MalaysiaGazette