Veeran

KUALA LUMPUR – DAP paling lantang mempersoalkan kerajaan berhubung melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 terutamanya dalam kalangan menterinya sebelum ini.

Antaranya, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengkritik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dalam isu kuarantin sejurus selepas lawatannya ke Turki.

Segala macam tohmahan, dakwaan dan spekulasi yang akhirnya turut membuatkan segelintir masyarakat menganggap apa yang berlaku seperti ada pilih kasih.

Tetapi bagaimana dengan insiden ketika Konvensyen DAP Perak ke-19 yang didakwa tidak mengikut SOP malah kehadiran delegasi pada hari itu 1,500 ahli malah penganjur juga dikatakan tidak memohon permit.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat, Veeran Muniandy yang merasakan sikap berdiam diri pemimpin DAP dalam insiden di Perak sebenarnya jauh lebih teruk kerana parti itu hanya pandai mengkritik tetapi bukan mahu memohon maaf.

“Kita boleh terima alasan penganjur kononnya itu majlis tertutup dengan kapasiti dewan berkenaan lebih 4,000 orang walhal kehadiran ahli DAP hanya 1,500 dan telah mematuhi SOP.

“Tetapi kita juga ditonjolkan dengan insiden seperti tarik menarik, berpegangan, tidak ada penjarakan sosial malah ada yang tidak pakai pelitup muka ketika berlakunya kekecohan ketika proses undian pemilihan 15 ahli Jawatankuasa. Gambar pun ada sebagai bukti.

“Soalnya sekarang kenapa tidak pemimpin yang lantang bercakap ini tampil menegur insiden dalam kalangan parti mereka sendiri? Mengapa jika ianya berlaku pada pihak lawan, mereka terkinja-kinja tapi membabitkan parti sendiri semua diam.

“Mengapa tidak jaguh hebat seperti Kit Siang, Teresa Kok atau Lim Guan Eng tampil membuat bising pula?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Veeran, rakyat sendiri kini berdepan dengan krisis terpaksa membayar kompaun ribuan ringgit tapi DAP telah melanggar SOP secara terang-terangan.

Konvensyen Biasa DAP Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh kecoh Ahad lepas selepas pergaduhan mulut antara dua kem bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa negeri itu.

Kata Veeran lagi, selama ini pemimpin DAP banyak tampil menentang sebarang aktiviti berpolitik ketika musim pandemik Covid-19 dan darurat tetapi lain pula jadinya dengan aktiviti parti itu sendiri.

“Jadi buat pemilihan sampai bergaduh sakan semata-mata rebut jawatan? Ahli parti sendiri dakwa wujudnya penyewelengan dalam pemilihan parti, ada pengundi hantu dan sebagainya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hipokrasi DAP terbongkar, ada elemen ‘pengundi hantu’ di Perak – Baljit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast