Gagal mengemukakan alasan munasabah untuk rentas negeri merekodkan kesalahan paling tinggi dalam operasi pematuhan semalam.
“RINDU yang sangat dekat cucu,” begitulah luahan seorang makcik yang berusia
sekitar pertengahan 60-an, ketika ternampak anak kecil berumur 2 tahun yang
sedang makan berdekatan meja yang dilaluinya.
“Takpalah, nak buat macam mana kan. Kita masih PKPB (Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat) lagi,” beritahunya lagi dengan menambah, sudah hampir
setahun tidak berjumpa cucu-cucunya sejak PKP tahun lalu.
Jelas terpamer pada raut wajahnya apa yang diperkatakannya itu, menahan rindu
kepada insan-insan yang lama tidak bertemu. Begitulah antara reaksi masyarakat
yang dapat kita lihat dengan situasi yang terjadi kini. Bukan dibuat-buat, tapi itulah
yang perlu dilalui kita semua.
Bekerja Dari Rumah (BDR) masih berkuat kuasa walaupun Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) di beberapa negeri kini dilonggarkan kepada Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebagaimana kata Menteri Kanan (Keselamatan),
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 4 Mac lalu.
Laporan kes setiap hari, masih menjadi perhatian rakyat dan doa kita semua. Kita
mengharapkan kes Covid-19 semakin menurun ke angka sifar atau paling tidak
makin kecil angka itu agar dapatlah kehidupan ini berlangsung seperti biasa.
Mungkinkah?
Kuatkuasakan SOP tanpa memilih darjat
Tindakan pihak berwajib mengenakan kompaun kepada rakyat dengan angka yang
besar sewajarnya dipertimbangkan semula. Walaupun tujuannya jelas mendidik
masyarakat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang
ditetapkan, namun amatlah tidak sepatutnya ia dikenakan kepada pihak tertentu
sahaja.
‘Mendidik’ itu juga seharusnya diberikan kepada ‘jerung-jerung besar’ yang ‘di atas’
sana, yang sering bebas membuat sesukanya, yang adakalanya melanggar SOP
yang dikuatkuasakan, bukan kepada rakyat yang sudah sedia terhimpit dan tersepit
dengan situasi yang terpaksa dilalui mereka. Bersikap adillah dalam mengenakan
tindakan tersebut, bukan memilih pangkat, darjat dan jawatan.
Sebagaimana kita ketahui, nilai kompaun kepada mereka melanggar SOP yang
pada awalnya RM1,000 itu telah dinaikkan kepada RM10,000 sejak 11 Mac lalu.
Pesalah ini membabitkan individu yang tidak memakai pelitup muka, penjarakan
fizikal, premis gagal menyediakan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman,
bersesak dalam premis tanpa kawalan dan aktiviti hiburan tanpa lesen.
Namun, adakah semua itu dikuatkuasakan kepada menteri-menteri dan ahli politik
yang secara jelas telah melanggar SOP tersebut?
Putuskan rantaian Covid-19
Sebagaimana yang dilaporkan, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan
kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kebenaran rentas negeri yang
diberikan pada Disember tahun lalu dan penularan gelombang ketiga susulan Pilihan
Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dijadikan iktibar.
Demi untuk menghalang penularan wabak ini, perkara itu wajar dikuatkuasakan
tetapi tidak kepada sebelah pihak sahaja. Ia perlu dikenakan juga kepada semua
tanpa melihat latar belakang atau pengaruh seseorang itu.
PKPB di beberapa negeri yang dijadualkan tamat pada 18 Mac ini wajar dilanjutkan
manakala sekatan rentas negeri perlu dikekalkan kepada semua pihak.
Pandemik Covid-19 yang masih bermaharajalela menjadikan pelbagai perkara atau
perancangan kita semua terbatas. Namun, ia perlu dilalui walaupun amat pahit.
Realitinya, rakyat semakin berjaya menerima hakikat bahawa segala norma baharu
yang dilalui dalam tempoh setahun ini perlu diteruskan bagi memutuskan rangkaian
wabak yang hebat menular ini.
Teruskanlah bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 yang telah setahun
mendiami bumi kita ini.
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast