Khairul Azhan Mohd. Khalid.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan Mohd. Khalid menyifatkan sukar melupakan detik aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim semalam yang disifatkan mampu menyuntik semula moral pasukan bagi menghadapi kempen Liga Super, musim ini.

Malah beliau akui pada satu ketika dia memikirkan pasukannya sudah berdepan detik kekalahan sebaik tuan rumah mendapat sepakan penalti kedua pada minit ke-79.

Bagaimanapun, dia tetap berfikir secara positif yang mereka mampu meraih sesuatu daripada perlawanan tersebut dan menganggap kejayaan menafikan sepakan yang diambil Bergson da Silva hanya sebagai tuah yang menyebelahi dirinya.

“Penalti yang diraih oleh JDT itu lagi sepuluh minit nak habis dan dalam kepala saya, fikir kami boleh kalah tetapi saya tetap menanam keyakinan yang apa-apa boleh berlaku dalam situasi sepakan penalti.

“Ternyata mungkin hari ini rezeki atau tuah saya apabila berjaya menyelamatkan sepakan itu dan diharapkan apa yang kita capai ini di Johor, akan memberikan satu impak positif serta keyakinan terhadap pasukan kami untuk beri saingan pada Liga Super.

“Bukan saya sahaja tetapi semua pemain dalam kesebelasan utama bermain bermati-matian dan bagi yang terbaik kerana semua orang tahu JDT adalah pasukan yang terbaik.

“Satu mata yang dibawa dari sana sudah cukup baik dan pemain sudah memberikan segalanya, sekarang fokus kami untuk berhadapan dengan Pulau Pinang pada perlawanan hujung minggu ini, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Aksi Khairulazhan mendapat perhatian peminat apabila beraksi cemerlang di gawang Selangor serta menjadi kunci utama di sebalik keputusan seri 1-1 dengan JDT.

Selain menyelamatkan satu sepakan penalti yang diambil Bergson, Khairul Azhan juga menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dimiliki tuan rumah seperti sepakan percuma yang diambil Leandro Velazquez pada penghujung waktu permainan.

Penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi, membuka tirai jaringan pada minit ketujuh namun JDT bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian melalui rembatan kencang Bergson.

Kedudukan itu meletakkan Selangor di tangga kelima dengan pungutan lima mata sementara JDT terus kekal di tangga teratas selepas meraih 10 mata.

Dalam perlawanan lain, Terengganu FC (TFC) gagal mengambil peluang atas keputusan seri JDT apabila turut diikat seri 1-1 oleh Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Alex Goncalves meletakkan pelawat di hadapan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-3 sebelum Jordan Mintah menyelamatkan maruah TFC dengan jaringan penyamaan pada minit ke-66.

Kedah Darul Aman (KDA) FC bangkit daripada ketinggalan di Stadium Darul Aman untuk meleburkan rekod tanpa kalah PJ City menerusi kemenangan 3-1.

Sepakan penalti yang diperolehi PJ City pada minit ke-39 dapat disudahkan R.Kogileswaran namun separuh masa kedua memperlihatkan kebangkitan KDA FC yang dimulakan oleh Baddrol Bakhtiar, minit ke-47.

Kpah Sherman meletakkan KDA FC di hadapan pada minit ke-52 sebelum pemain muda, Fayadh Zulkifli Amin mengukuhkan kemenangan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit 84.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, KL City FC melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak FC dengan jaringan yang terhasil melalui Dominique da Slyva pada minit ke-41 dan Romel Morales yang meledak dua gol pada minit ke-46 dan 65 bagi membawa KL City naik ke tangga keempat Liga Super. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast