Lee Tuck

KUALA LUMPUR – Atas kepercayaan dan semangat yang diberikan oleh Dollah Salleh,  pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck bangkit membantu pasukan meraih kemenangan pertama aksi Liga Super 2021, kelmarin.

Bekas pemain Terengganu FC itu mengukuhkan kemenangan pasukan menerusi tandukannya pada minit ke-70 selepas gol pertama dilakukan oleh Yevhen Bokhashvili bagi menewaskan Sabah FC dengan keputusan 2-1.

Dollah nyata berpuas hati dengan aksi yang telah ditampilkan oleh kesemua pemain terutamanya Lee Tuck dalam aksi di Stadium Darul Makmur itu dengan menganggap dia antara pemain terbaik berjaya mencipta peluang dan asakan berbahaya kepada lawan.

Lee Tuck yang baru berhijrah ke Sri Pahang pada musim ini mengakui pada awalnya masih dalam fasa mencari rentak keserasian sewaktu perlawanan pertama dan kedua tempoh hari sehingga bergelut untuk memburu kemenangan.

Namun semangat berterusan yang diberikan Dollah yang meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya dalam perlawanan itu membuatkan dia lebih yakin untuk membuktikan sesuatu pada aksi semalam.

“Satu kelegaan untuk diri saya dan pasukan apabila akhirnya berjaya meraih tiga mata pertama dan ia sangat bermakna untuk kami meneruskan aksi pada musim ini dengan lebih baik.

“Kami sebenarnya sentiasa memperbaiki diri dalam setiap perlawanan dan daripada aspek serangan juga bertambah baik, yang penting semua pemain hanya ikut apa yang diajar oleh jurulatih dan daripada situ kami bina tahap keyakinan untuk lebih bersemangat dalam perlawanan semalam.

“Semestinya dengan satu gol yang saya lakukan semalam membuatkan semangat ini terus meningkat untuk saya cuba memburu lebih banyak gol, tetapi apa yang penting menghadiahkan mata buat pasukan,” katanya.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung kelmarin menyaksikan Penang FC dan UiTM FC masing-masing pulang dengan satu mata selepas seri tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Bandaraya.

Pengendali Penang FC, Thomas Trucha menyifatkan sifat tidak berputus asa skuad lawan yang sememangnya ingin mencari kemenangan pertama benar-benar memberi tekanan kepada pasukannya yang gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri.

Beberapa peluang dilihat hadir daripada penyerang berbisa, Casagrande tetapi gagal mencari penyudah berkesan, akhirnya kedua-dua pasukan berputih mata tanpa sebarang gol hingga tamat perlawanan.

“Pada separuh masa pertama, mereka beraksi dengan baik dan memasuki babak kedua, saya dapat lihat mereka semakin diberi tekanan memandangkan pihak lawan begitu inginkan mata.

“Kami juga inginkan mata dan pemain-pemain turut dilihat mendapat beberapa peluang, tetapi tidak berjaya dan sememangnya perit apabila masih seri ketika ini, jadi kita memang kena berusaha keras untuk cuba memburu lebih banyak jaringan selepas ini.

“Casagrande juga sudah bekerja keras, cuma memang nasib tidak menyebelahinya untuk menjaringkan gol, tetapi saya percaya dia akan lebih baik selepas ini untuk bantu pasukan”, jelasnya.

Baki empat lagi perlawanan Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam ini menyaksikan aksi tumpuan pertembungan sengit antara Juara Piala Sumbangsih 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim manakala pasukan yang masih kekal rekod bersih tanpa kalah, Terengganu FC akan menentang Melaka United FC.

PJ City FC pula akan berkunjung ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Datul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC akan menentang pasukan Perak FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast