Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Pasaran modal domestik Malaysia terus meningkat tujuh peratus kepada RM3.4 trilion pada 2020 berbanding RM3.2 trilion pada 2019, di sebalik persekitaran yang mencabar.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2020 yang dikeluarkan pada Khamis berkata, aset di bawah pengurusan (AUM) industri pengurusan dana berkembang sebanyak RM82.3 bilion kepada RM905.5 bilion pada Disember 2020.

“Segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar bagi AUM dengan nilai aset bersih (NAV) yang lebih tinggi berjumlah RM519.5 bilion pada Disember 2020, berbanding RM482.1 bilion pada Disember 2019,” kata SC.

Laporan itu berkata pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan walaupun berhadapan dengan krisis yang belum pernah terjadi pada 2020.

Paras kecairan domestik yang tinggi, disamping langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa telah bantu mengekalkan suasana pasaran yang teratur dan mengurangkan gangguan kepada keseluruhan aktiviti pasaran modal, katanya.

Industri pengurusan dana mencatatkan pengeluaran bersih bulanan tertinggi pada 2020 ketika kemuncak krisis kesihatan pada bulan Mac, bagaimanapun ia menunjukkan daya tahan di sepanjang tempoh tekanan pasaran kerana kekukuhan rangka kerja pengurusan risiko kecairan pengantara pasaran modal.

Selain itu, SC berkata para profesional pengurusan pelaburan mendepani ketidaktentuan pasaran melalui strategi pengurusan yang berkesan, ia termasuk memulihkan keyakinan pelabur.

“Menjelang Julai 2020, industri pengurusan dana melonjak kembali dan mencatatkan AUM sebanyak RM844.1 bilion, melebihi paras tertinggi RM823.2 bilion pada penghujung Disember 2019,” kata SC.

Sementara itu, laporan itu berkata saluran pengumpulan dana alternatif terus menarik minat, khususnya dalam dalam Pendanaan Awam Ekuiti (ECF) dan pembiayaan perangkai padan (P2P) dengan jumlah dana dikumpulkan meningkat kepada RM631.0 juta pada 2020.

“Walaupun kegiatan pengumpulan dana perlahan sepanjang Mac-Mei 2020, ia pulih semula setelah aktiviti ekonomi disambung berikutan keperluan berterusan terhadap pembiayaan,” kata SC.

Namun, pasaran modal menyaksikan aktiviti pengumpulan dana dalam pasaran bon korporat dan ekuiti yang lebih rendah berjumlah RM114.6 bilion sepanjang tahun.

Bagi segmen pasaran bon korporat, SC berkata jumlah penerbitan baharu adalah sebanyak RM104.6 bilion, sementara jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran ekuiti meningkat kepada RM10.0 bilion di mana RM2.0 bilion dari jumlah tersebut dikumpulkan melalui 19 tawaran awam awal (IPO) dan RM8.0 bilion melalui pengumpulan dana sekunder.

Pada tahun lepas, dua syarikat disenaraikan di Pasaran Utama, 10 syarikat disenaraikan di Pasaran ACE, dan selebihnya di Pasaran LEAP.

Menurut SC, kesan terhadap pasaran domestik adalah ketara, terutamanya pada Mac 2020 disebabkan  oleh kemerosotan teruk prospek pertumbuhan dan pengelakan risiko global, manakala pasaran ekuiti dan bon tempatan mengalami penurunan mendadak.

Pada 19 Mac tahun lepas, FMBKLCI jatuh sebanyak -24.3 peratus daripada paras tinggi prapandemik pada bulan Januari 2020 kepada 1,219.72 mata, paras terendah sejak September 2009.

Sementara itu, laporan itu berkata hasil bon melonjak naik dengan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MSG) 10-tahun meningkat sebanyak 80.4 mata asas kepada 3.57 peratus pada 24 Mac, 2020 daripada paras rendah pada 4 Mac, 2020.

“Aliran dana portfolio juga terjejas teruk dengan aliran keluar bagi ekuiti dengan bon berjumlah -RM34.1 bilion pada Februari hingga Mei 2020 dalam persekitaran penjualan yang rancak,” kata SC.

Bagaimanapun, SC berkata pasaran modal domestik terus mempamerkan daya tahan yang didukung oleh dasar-dasar sokongan di mana pemulihan meluas dalam harga aset domestik telah disaksikan bermula dari Mei 2020, sejajar dengan pasaran global apabila sentimen terus bertambah baik.

Aliran masuk portfolio turut pulih, sebahagian besarnya didorong oleh pasaran bon dengan aliran masuk bukan pemastautin mencapai jumlah RM24.4 bilion dari Jun hingga Disember 2020, katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast