KUALA LUMPUR – Orang ramai diseru supaya tidak menularkan maklumat tidak tepat tentang kematian jururawat Hospital Pulau Pinang, sehingga menimbulkan tanggapan yang salah terhadap vaksin Covid-19.
Tampil menjelaskan berita yang mulai tular sejak semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, hasil bedah siasat jururawat yang berusia 45 tahun itu mendapati bahawa tiada kesan alahan terhadap tubuh badannya.
Sebaliknya menurut beliau, punca kematian jururawat yang menghidap darah tinggi kronik itu adalah serangan jantung.
“Hasil bedah siasat menunjukkan sebab kematian adalah disebabkan serangan jantung dan tiada tanda-tanda anafilaksis atau reaksi alergi. Oleh itu kematian ini tidak berkaitan dengan vaksinasi Covid-19.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin Covid-19,” tambahnya,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau berkata, jururawat tersebut dalam keadaan stabil selepas menerima suntukan vaksin jenis (Corminaty) pada 12 Mac lalu.
“Selepas vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menunjukkan pegawai stabil. Pegawai hanya mengadu lenguh pada tempat suntikan iaitu pada tangan kiri selepas suntikan namun telah dapat bekerja seperti biasa mengikut shif kerja di hospital,” tambahnya.
Ujarnya, pada 16 Mac jururawat itu mengadu kepada suaminya bahawa beliau tidak selesa bernafas namun tidak menerima sebarang rawatan.
Tambah Asmayani, keadaannya itu juga tidak dimaklumkan kepada PPV.
Beliau kemudian didapati tidak sedar diri pada tengah malam 17 Mac lalu.
Semalam, Ketua Asisten Komisioner Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil laporan autopsi forensik mengesahkan jururawat berusia 45 tahun itu meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
Untuk rekod, wanita itu bertugas di wad unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang sejak hampir 20 tahun.-MalaysiaGazette