KUANTAN – Belum sampai sebulan ‘Lorong Seni’ di Jalan Mahkota dibuka kepada orang awam, bangunan lama yang memaparkan hasil karya seni itu sudah menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Jumlah itu direkodkan sejak pembukaan ‘Lorong Seni’ kepada sejak 21 Februari lalu sempena perasmian Kuantan sebagai bandaraya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsudin berkata, sambutan luar biasa dan menggalakkan daripada orang ramai meskipun tidak ada lagi nama khusus yang diberikan kepada lorong tersebut.
Pihaknya juga bercadang untuk meletakkan pengira pengimbas automatik untuk mendapatkan jumlah kiraan kehadiran pengunjung yang lebih tepat, ujarnya.
“Kita berharap orang ramai dapat menghargai 36 lukisan tiga dimensi (3D) dihasilkan 13 artis grafiti moden anak jati Pahang ini di sepanjang laluan kira-kira 650 meter,” katanya.
Selain itu, Majlis Bandaraya Kuantan juga memasang kamera litar tertutup untuk mencegah budaya vandalisme di Lorong Seni daripada berleluasa disamping memastikan keselamatan orang ramai.
Menurut Sharkar, pemasangan kamera litar tertutup itu adalah bagi memastikan semua lukisan selamat dan tidak diconteng.
“Jumlah pengunjung dijangka terus meningkat lagi setelah keputusan kerajaan untuk membenarkan semula aktiviti pelancongan,” tambah beliau.
Sharkar berkata, kedudukan lorong yang berada di tengah pusat bandaraya Kuantan dilihat berpotensi untuk menjadi daya tarikan dan ikon terbaharu daerah ini.
“Pahang mempunyai kelebihan dan banyak lokasi yang menarik untuk dipilih pelancong domestik, Kuantan Street Art juga antara lokasi tumpuan dan boleh menjadi mercu tanda atau ikon pelancongan terbaharu di Pahang,” jelasnya
Jolokan Lorong Seni Kuantan atau dikenali Kuantan Art Street oleh earga Kuantan terletak berhampiran Menara 188 dengan dihiasi di bawah ratusan cahaya neon.
Setiap lukisan mural ada seni cerita yang unik dan tersendiri sepanjang deretan dua blok kedai bangunan. – MalaysiaGazette.