Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas Program ''Back To School'' anjuran Pertubuhan Anak Kerinchi di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang pelaksanaan layak mengundi undi 18 tahun sukar dibatalkan kerana ia sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini kesungguhan pelaksanaannya terletak di pihak kerajaan untuk dilaksanakan.

“Sukar sebab Dewan Rakyat dan Dewan Negara sudah meluluskan dan sekarang ini cuma bab pelaksanaan.

“Cuma saya lihat kenyataan daripada beberapa Menteri seolah-olah ia jatuh di tangan Suruhanjaya Pilihan Raya dan saya rasa kesungguhan dan iltizam politik itu perlu ada di pihak kerajaan untuk memastikan ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan beg sekolah menerusi Program Back To School anjuran Pertubuhan Anak Kerinchi Lembah Pantai di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang meminta semua pihak menunggu pengundi berumur 18 tahun memasuki usia 21 tahun agar golongan itu mencapai tahap kematangan mereka.

Beliau berkata, ini kerana ada dalam kalangan ibu bapa yang mengeluh mengenai had umur mengundi pada usia 18 tahun iaitu sama ada tindakan tersebut logik dalam konteks perjuangan di negara ini.

Sebelum itu, Rais dilaporkan berkata, dasar berkenaan tidak sesuai dilaksanakan ekoran beberapa kekangan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pendapat Rais tidak salah tetapi ia tidak begitu tepat dan beliau harap veteran politik itu boleh mengubah pendirian kerana lebih dua pertiga atau hampir 90 peratus Ahli Parlimen yang telah mengundi pindaan Perlembagaan itu termasuk UMNO, PKR, DAP, MCA dan Pas.

“Jadi kalau Rais sendiri dan waktu itu beliau tidak mengundi sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara maka saya pohon beliau ubah fikiran dan selaraskan keputusan yang dibuat kedua-dua dewan itu pada waktu. Saya harap sangat jelas ia dapat dilaksana

“Saya seorang daripada 211 Ahli Parlimen daripada 222 yang mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

“Jadi kenyataan beliau itu yang agak sedikit janggal kerana beliau sebagai Presiden Dewan Negara semestinya faham usaha untuk meminda Perlembagaan bukan satu perkara yang enteng, remeh dan kecil.

“Apatah lagi dalam perkara yang membolehkan warga negara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi dan juga menjadi calon dalam pilihan raya.

“Saya berharap beliau akan berubah pendirian dan menjadi seorang yang memperjuangkan hak anak muda untuk menjadi pengundi.

”Kita perlu faham pada usia 18 tahun, seorang warga negara boleh menyertai tentera, polis, bekerja sebagai bomba, boleh tandatangani kontrak beli rumah, boleh didakwa di mahkamah sebagai dewasa tetapi tidak boleh mengundi pada waktu itu.

“Jadi kita perlu selaraskan, kita mahu anak muda menjadi pembayar cukai juga, jadi kita perlu iktiraf mereka sebagai pengundi. Saya alu-alukan Tan Sri Rais Yatim sama-sama memperjuangkan hak anak muda untuk mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette