Cadangan mewajibkan pengambilan vaksin sebagai antara syarat utama membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium dijangka mampu meningkatkan lagi kemahuan orang ramai secara tidak langsung untuk mendaftarkan diri serta mengambil vaksin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Barisan pengurusan pasukan akhirnya boleh tersenyum dengan kebenaran penyokong untuk hadir ke stadium bermula 1 April ini yang dijangka akan memeriahkan kembali saingan Liga Malaysia 2021 selain mampu memberi ruang kepada pasukan menambah pendapatan.

Bukan sahaja melalui kutipan tiket pada hari perlawanan tetapi menarik lebih banyak lagi penaja-penaja apabila kebenaran masuk ke stadium telah diberikan kepada penyokong.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, hubungan antara pasukan dan penyokong kembali mampu terjalin yang secara tidak langsung memberikan semula satu nafas baharu kepada industri bola sepak tanah air.

“Semua pihak pasti gembira dengan perkembangan ini dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kerja keras MFL kerana mendapat kebenaran semula penyokong masuk ke dalam stadium.

“Setelah sekian lama hubungan dengan penyokong hanya mampu terjalin secara digital, kini pasukan mampu ada hubungan secara fizikal dan dalam masa sama, pulangan pelaburan kepada penaja dapat dilihat secara langsung.

“Selain itu, peratusan untuk penyokong hadir biarpun buat masa ini masih rendah namun saya yakin akan meningkat secara perlahan-lahan mengikut keadaan semasa.

“Di pihak Selangor, kami bersedia mengikut segala SOP yang telah dibentangkan oleh MFL dan harap mampu menjalankannya pada hari perlawanan serta sudah pasti akan banyak perkara kami akan belajar berdasarkan kesesuaian SOP,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia,

Sementara itu, CEO Penang FC, Dr Amar Pritpal Abdullah gembira dengan perkembangan itu memandangkan ramai penyokong setia skuad Harimau Kumbang sudah tidak sabar ke stadium selepas berjaya bermain di Liga Super pada musim ini.

Tambahnya, biarpun kehadiran penyokong hanya dihadkan sebanyak 10 peratus memandangkan Pulau Pinang masih di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau melihat itu sebagai satu permulaan yang baik yang seterusnya mampu menambah kantung kewangan kelab.

“Berdasarkan data daripada perlawanan sebelum ini di Stadium Bandaraya, kami boleh mendapatkan kira-kira 3,500 penonton untuk hadir ke stadium dan boleh mencecah lebih 7,000 untuk beberapa perlawanan yang membabitkan pasukan seperti Perak atau Kedah.

“Kapasiti di Stadium Bandaraya adalah 11,000 dan jika 10 peratus, 1,100 penonton dibenarkan masuk, jadi kami akan cuba mencari kaedah sebaik mungkin bagi mengagihkan kepada penyokong yang sudah pasti mahu ke stadium setelah sekian lama menunggu, ” katanya.

JDT dan Melaka United FC pada 2 April ini akan menjadi salah satu projek perintis bagi perlawanan kemasukan penonton selain Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC pada 3 April ini.

Perlawanan simulasi ini bagi mendapatkan kelulusan kelab membenarkan penonton ke stadium melalui proses penilaian MFL di mana venue tersebut layak jika segala kriteria itu lengkap berdasarkan syarat ditetapkan.

Sebagai rekod, formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur manakala PKP Bersyarat (PKPB) pula adalah sebanyak 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan. – MalaysiaGazette