KUALA LUMPUR – Suami isteri yang memuatnaik gambar mereka berbulan madu di media sosial telah disiasat polis.
Siasatan dilakukan ekoran dakwaan pasangan terbabit menyalahgunakan kebenaran merentas negeri seperti yang ditularkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, seorang ahli perniagaan telah datang bersama isterinya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, Johor atas urusan perniagaannya pada Isnin lalu.
“Lelaki itu telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat. Berdasarkan dokumen yang dikemukakan olehnya, permohonan rentas negeri tersebut telah diluluskan oleh polis bermula pada Rabu hingga Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, gambar pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu telah tular di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan sehingga dikecam oleh netizen baru-baru ini.
Menurutnya, netizen mempersoalkan kebenaran rentas negeri yang diberikan pihak polis kepada pasangan itu untuk tujuan berbulan madu.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan pasangan tersebut mengesahkan mereka telah menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana.
“Mereka telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka.
“Pasangan ini juga mengesahkan ada memuat naik gambar mereka di akaun Instagram milik isterinya,” katanya
Beliau berkata, pasangan itu menafikan berada di Pulau Perhentian, Terengganu sepertimana yang telah ditularkan.
“Lelaki itu telah menjelaskan posting yang dimuatnaik di Instagram oleh isterinya bersifat peribadi tetapi telah ditularkan di Twitter,” katanya.
Tiada kertas siasatan dibuka dan semua keterangan dan bukti yang pihak polis perlukan telah dikemukakan oleh pasangan berkenaan.
Tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka, katanya.
Ashari menasihatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri agar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan oleh pihak polis.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Rentas negeri untuk bulan madu, usahawan wanita dikecam warganet