Petani, Mohammad Mohashim Mohammad Ali melihat keadaan padinya yang merupakan hasil pengedaran dari NAFAS menerusi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Tanjong Karang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

TANJONG KARANG – Pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal kepada pengedaran Program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) diyakini mampu menghapuskan benih padi tidak sah sekaligus kualiti sumber jaminan makanan negara itu terjaga.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Rozaidi Abdul Rahman berkata, menerusi inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu, akhirnya hasil padi yang bakal dihasilkan bertambah dan terjamin pertumbuhannya.

“Bagi kami di Selangor, sangat sesuai program ini kerana dapat meningkatkan keutamaan kita kepada program satu blok satu variati. Ini dapat menyelesaikan kita punya masalah kawalan benih padi.

Rozaidi Abdul Rahman. Foto: HAZROL ZAINAL.

“Melalui insentif ini, apabila benih padi itu tidak tumbuh, pihak NAFAS dapat membuat pertukaran pada kadar cepat, sekali gus memberi kebaikan kepada pesawah-pesawah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Sawah Sempadan baru-baru ini.

IBPS merupakan salah satu daripada program subsidi dan insentif yang diuruskan oleh MAFI bagi membantu golongan sasar dalam sektorpadi dan beras iaitu pesawah padi.

Matlamat insentif itu untuk membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan risiko padi angin.

Berdasarkan kawasan bertanam padi seluas 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia, anggaran jumlah benih padi yang diperlukan bagi dua musim penanaman setahun ialah sebanyak 72,000 tan metrik.

Ianya adalah berdasarkan kepada anggaran keperluan benih padi sebanyak 140 kilogram per hektar.

Menurut Rozaidi, pihak IADA Barat Laut Selangor menghadkan kepada enam jenis variati berbanding 15 variati benih padi sebelum ini apabila program ini dilaksanakan bersama NAFAS.

“Variati ini tempoh matangnya berbeza, apabila kita buat program ini bersama NAFAS, kita hanya hadkan kepada enam variati iaitu 267, 219, 268, 307 dan MR303.

“Dengan adanya variati yang tempoh masa sama, pesawah-pesawah dapat mematuhi jadual air dan pemeriksaan beras yang telah kita tetapkan.

“Saya rasa kita dapat meningkatkan hasil dan juga paling penting mengurangkan potongan di peringkat petani,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang, Mohd Ruzi Abu Hassan berkata, pengenalan insentif MAFI itu dapat mengatasi masalah harga benih padi mahal dan tidak sekata.

Mohd Ruzi Abu Hassan. Foto: HAZROL ZAINAL.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kerana telah melancarkan program pengagihan benih padi sah ini pada harga siling iaitu RM35 bagi 20 kilogram dan kita tidak akan menjual pada harga lebih.

“Alhamdulillah kita telah mengagihkan lebih kurang 6,280 benih padi sah. Walaupun ada broker sebelum ini, tapi MAFI sudah ambil satu tindakan yang cukup baik bagi mengatasi masalah penjualan benih-benih,” katanya.

Menurut Pengurus Besar PPK Tanjong Karang, Hashim Abdul Hamid pula, pihaknya diberi tanggungjawab untuk mengedarkan benih padi sah bagi keluasan 5,800 hektar yang melibatkan lebih 2,600 pesawah.

Hashim Abdul Hamid. Foto HAZROL ZAINAL.

Jelas Hashim, pihaknya berupaya merintis pengedaran benih padi sah kepada pesawah-pesawah kawasan, sekali gus dapat mengatasi isu-isu rantaian yang berlaku sebelum ini.

“Kita menambah baik cara pengedaran kepada pesawah dan juga kepada syarikat yang mencalit ataupun tapak semaian di mana pengurusan itu kita dapat lebih secara komprehensif di mana rantaian itu kita dapat licinkan perjalanannya.

“Bagi padi biasa, kita membuat pesanan kepada NAFAS dan seterusnya Nafas akan membuat penghantaran. Sebelum ini mereka ada yang melalui orang tengah.

Keadaan padi hasil dari penggunaan Benih Padi Sah (IBPS) yang diedar oleh NAFAS di Tanjong Karang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

“Apabila melalui PPK, semua urusan akan diuruskan oleh PPK yang mana kami bekerjasama dengan petani-petani, ketua blok dan ketua kelompok yang menetapkan penghantaran serta pengambilan.

“Dengan cara ini petani-petani dapat benih padi sah sampai ke rumah atau sawah mereka tepat pada waktunya,” katanya.

Dalam pada itu, penggunaan benih padi sah itu juga diharapkan dapat mengembalikan rekod asal pengeluaran padi di IADA Barat Laut Selangor, sekurang-kurangnya enam metrik tan semusim.

“Pada ketika ini secara purata dalam 5.3 per metrik tan sehektar. Dengan adanya benih padi sah ini, kita anggarkan tujuh metrik tan supaya kita dapat kembali kepada pengeluaran asas seperti dahulu di mana Barat Laut terkenal dengan pengeluaran padi yang paling tinggi di Malaysia.

“Kalau peringkat negara sasarannya adalah enam metrik tan dan Selangor sudah lebih dan mencapai sasaran, ini kerana kita dengan kemudahan prasarana yang telah diberikan.

“Kita cuba mempertahankan supaya produktiviti padi ini menjadi lebih baik daripada yang lepas-lepas,” jelasnya.

Selain itu, bagi seorang petani yang mengusahakan 30 ekar sawah di sini, Mohammad Mohashim Mohammad Ali, 61, inisiatif MAFI itu bukan sahaja mengurangkan kos pembelian bahkan risiko pertumbuhan benih padi dapat diminimumkan.

Mohammad Mohashim Mohammad Ali. Foto HAZROL ZAINAL.

“Alhamdulillah musim lepas okay juga, jadi petani itu tidak jadi masalah sebab benih itu cepat tumbuh.

“Tengok variati itu yang bagus, bagi cantik, jadi petani tak jadi masalah untuk membuat sawah pada musim akan datang.

“Pada musim lepas, saya boleh hasilkan lapan metrik tan untuk satu lot, musim ini harap-harap makin berjaya, saya cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik,” katanya.

Bagi seorang petani muda, Mohd Yazid Basir, 35, risiko padi angin dan rintang penyakit dapat dielakkan dengan penggunaan IBPS yang dibekalkan oleh NAFAS.

Petani, Mohd Yazid Basir melihat keadaan padinya yang merupakan hasil pengedaran dari NAFAS menerusi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Tanjong Karang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

“Setakat ini alhamdulillah IBPS boleh lagi mengawal segala penyakit. Pengedaran benih pada sah pula menepati masa dengan lancarnya.

“Sekarang benih padi CL turun harga, terima kasih kepada pihak Nafas, dulunya mahal sekarang murah boleh petani-petani beli.

“Saya juga bersyukur kerana NAFAS telah membuat penghantaran stok mengikut masa dan kerap juga turun padang untuk mengambil maklumbalas hasil tanaman petani,” katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 212,666 atau 4253.32 tan metrik benih padi sah telah diedarkan kepada ejen rasmi melalui PKK di Semenanjung Malaysia.

Anggaran keperluan untuk benih padi sah dalam tempoh setahun sebanyak 72,000 tan metrik bersamaan 3.6 juta beg untuk keluasan 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette