Foto Facebook Sabah Football Club.

KUALA LUMPUR – Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto meluarkan rasa syukur selepas skuad kendaliannya berjaya meraih kemenangan pertama dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 di tempat sendiri malam tadi.

Di sebalik tekanan apabila pihak pengurusan Sabah memberi amaran keras kepada beliau susulan prestasi hambar yang ditampilkan dalam empat perlawanan terdahulu, Kurniawan gembira barisan pemain akhirnya membuktikan sesuatu di Stadium Likas.

Lebih membanggakan, anak buahnya dapat meleburkan rekod bersih tanpa kalah TFC.

“Yang pertama, saya bersyukur sangat atas kemenangan ini kerana tiga mata pertama ini penting bagi mengangkat kembali moral barisan pemain dan yang kedua saya ingin ucapkan terima kasih kepada pemain yang menampilkan aksi cukup luar biasa meskipun kami di bawah tekanan selepas aksi yang hambar sebelum ini.

“Saya memang sentiasa cuba untuk bangkitkan motivasi mereka apatah lagi kita sedar cabaran cukup berat untuk menghadapi pasukan yang mempunyai rekod bersih setakat ini seperti TFC, dan Alhamdulillah mereka membuktikan sesuatu yang positif untuk menghadapi lawan.

“Apa yang penting, kami akan terus perbaiki kekurangan yang ada dalam tempoh liga berehat ini, saya tidak mahu bebankan fikiran dengan memikirkan kedudukan saya kerana saya percaya pihak pengurusan akan buat keputusan terbaik dan tugas saya sekarang adalah meneruskan tugas dengan lebih baik membimbing pasukan”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Dua lagi perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan PJ City FC meraih tiga mata selepas menumpaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 1-0 manakala Perak FC dan JDT terikat 2-2.

Tiga lagi aksi berlangsung pada Sabtu lalu melibatkan pasukan Selangor FC yang tewas 0-2 kepada Penang FC manakala Melaka United FC meraih kemenangan pertama selepas menundukkan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-1.

Kedah Darul Aman FC pula terus konsisten mengekalkan kemenangan mereka selepas menang 1-0 ke atas UiTM FC dalam aksi di Stadium UiTM Shah Alam. – MalaysiaGazette