PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan jaminan akan menyiasat dakwaan ugutan dan sogokan bagi mendapatkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki selepas pertemuan dengannya hari ini.
“Dia (Azam Baki) beri jaminan bebas dan telus dan takkan tutup mana-mana kes kalau benar ada rasuah.
“Saya tambah kes lain, walaupun masa itu dalam PH (Pakatan Harapan), ada kes dimana MP (ahli Parlimen) terima wang yang dikatakan dari 1MDB. Masa kes itu beberapa MP UMNO didakwa dan orang-orang yang terima wang, yang lompat ke (parti) Bersatu ketika itu dilepaskan,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Azam hari ini.
Anwar yang tiba di ibu pejabat SPRM jam 2.53 petang mengadakan pertemuan selama lebih sejam bersama Azam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyampaikan dakwaan bekas ahli Parlimen PKR yang mereka ditekan dan disogok oleh individu-individu tertentu.
“Saya tegaskan kalau benar ada kes, bukti dan fakta yang kuat tentang perilaku rasuah, saya tak datang untuk pertahankan.
“Tapi saya beritahu ada kes khusus seorang mantan
menteri mengadu pada saya, beliau diberi jaminan seorang menteri kanan kalau beliau lompat, dia akan dibebaskan dari tindakan rasuah,” katanya lagi.
Anwar pada 16 Mac lalu berkata, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Xavier Jayakumar ada menerima tekanan oleh seorang menteri kanan Perikatan Nasional.
Xavier pada pertengahan bulan ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan, beliau turut mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Azam menafikan dakwaan SPRM melindungi mana-mana individu.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Azam.
“Mereka (SPRM) kata tidak benar kami lindungi, siasatan diteruskan walaupun ia tidak diumumkan. Saya tak puas hati kerana belum ada orang yang masih berkuasa, dilepaskan begitu.
“Malahan nampak mereka itu terlalu bebas dan mengatasi hukum,” katanya lagi.
Sebelum ini, Anwar dalam sidang media di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya menyatakan hasratnya untuk menulis surat bagi mengadakan pertemuan dengan Azam susulan terdapat beberapa ahli Parlimen PKR didawka menerima ugutan dan sogokan.
Permintaan itu segera disambut Azam yang menyatakan kesediannya untuk bertemu dan tidak mempunyai masalah untuk membincangkan isu berkaitan rasuah. – MalaysiaGazette