Ketua Pengara LLM, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan,

KUALA LUMPUR – Kontraktor yang mengendalikan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) diarah untuk menghentikan kerja di tapak berikutan runtuhan komponen kren gantri yang meragut tiga nyawa.

Bagaimanapun,  kerja-kerja menyelamat termasuk kerja penstabilan struktur dibenarkan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan berkata, bagi mengelakkan tragedi tersebut berulang, pengendali SUKE telah diminta untuk memeriksa semua launching gantry dan rasuk yang berada di tapak pembinaan.

Katanya, menerusi perbincangan hari ini beberapa langkah telah dilaksanakan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), SUKE, Jurutera Perunding, Jurutera Perunding Bebas dan Kontraktor.

“Akses laluan sementara bagi penghuni Kondominium Puncak Banyan akan disediakan susulan kren pembinaan tersebut rebah dan menghalang laluan keluar masuk.

“Selain itu, pelan akses sementara kepada pengguna lebuhraya Alam Damai, Cheras akan dimaklumkan melalui media massa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

Dalam pada itu, SUKE telah mendapatkan kelulusan bagi menutup sepenuhnya jalan terbabit melibatkan Taman Leng Seng (Zon 2), Jalan Alam Damai (Zon 3)serta Persiaran Alam Damai (Zon 1).

Langkah itu diambil bagi mempertingkatkan serta menjamin keselamatan pengguna dan orang awam.

Menurut Mohd Shuhaimi, siasatan punca insiden sedang dijalankan oleh JKKP bersama CIDB dan hasil laporan akan diserahkan kepada pihak kerajaan.

Tambahnya, projek sepanjang 24.4 kilometer itu dijadualkan siap akhir tahun ini dan pembinaa yang bermula 29 Ogos 2016 itu telah 88.8% siap. – MalaysiaGazette