KUALA LUMPUR Indeks Pelopor (IP) untuk bulan Januari 2021 meningkat kepada 110.0 mata pada Januari 2021 daripada 101.7 mata pada bulan yang sama tahun lalu untuk mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.2 peratus.

Kenaikan IP disokong oleh peningkatan berterusan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang disumbangkan oleh Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Pengangkutan & Logistik.

Sejajar dengan itu, IP menunjukkan peningkatan 0.7 peratus berdasarkan perbandingan bulanan. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan di sektor Pembuatan (0.7%).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend yang menunjukkan prospek ekonomi Malaysia jangka pendek kekal optimis, selari dengan inokulasi vaksin.

Selain itu, langkah-langkah pengekangan ekonomi yang semakin mereda meningkatkan harapan untuk mengawal kesan terhadap ekonomi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kandungan laporan tersebut juga menyatakan bahawa Indeks Serentak (IS) turun 0.4 peratus untuk mencapai 111.0 mata pada Januari 2021 daripada 111.4 mata pada bulan sebelumnya disokong oleh penurunan yang signifikan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (-0.5%).

Begitu juga, prestasi IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa perlahan kepada pertumbuhan tahunan negatif 2.2 peratus pada Januari 2021 daripada negatif 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan IS mencerminkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tiga peringkat bermula pada 13 Januari 2021 sebagai tindakan yang tegas untuk memutuskan rangkaian jangkitan dan penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast