KUALA LUMPUR – Mayat ketiga dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras Isnin lepas, akhirnya berjaya dikeluarkan awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mu Tong Zheng, pekerja warga China yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya, dikeluarkan tiga anggota pada 3.58 pagi.
Katanya, mangsa sebelum ini tidak dapat dikeluarkan memandangkan pihaknya berhadapan kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.
“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa setengah jam dan keadaan mayat sedang mereput,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.
Nordin berkata, dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan, operasi menyelamat selama tiga hari bermula Isnin lepas telah selesai dan kes diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk siasatan lanjut.
Pada Isnin, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan. – MalaysiaGazette