Anggota bomba giat mengangkat bahan binaan lebuhraya SUKE menimpa van yang membawa beberapa pekerja di jalan Lingkaran Tengah II, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 MAC 2021.

SATU siasatan bebas yang terdiri daripada kalangan pakar
dan golongan profesional bagi menyiasat dengan lebih
terperinci kemalangan yang berlaku ditapak binaan di Lebuh
Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) perlu
ditubuhkan. Penubuhan siasatan bebas ini dilihat
penting bagi semua pihak mengenalpasti punca sebenar
berlakunya insiden-insiden kemalangan di kawasan lebuh
raya berkenaan dan berhampiran dengan kawasan lebuh
raya terbabit.

Pada 22 Mac yang lalu tiga lelaki warga China maut manakala seorang rakyat tempatan cedera parah selepas komponen kren terjatuh di tapak pembinaan SUKE di Jalan Alam Damai. Insiden kemalangan yang berlaku di lebuh raya ini bukan jarang-jarang berlaku.

Pada 3 Mac yang lalu, dua orang maut, manakala tiga lagi cedera apabila struktur jambatan Lebuhraya SUKE berhampiran Desa Tun Razak menghala Ampang runtuh, setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya itu. Pada September tahun lalu seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandu
ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan Lebuhraya
SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Tragedi kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan di
lebuh raya khususnya di Lebuhraya SUKE ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membahayakan nyawa
orang ramai yang mengunakan lebuh raya terbabit serta
para pekerja yang berkerja ditapak pembinaan berkenaan. Oleh yang demikian, adalah penting sebuah siasatan bebas ditubuhkan bagi mencari punca berlakunya kemalangan yang berlaku
di lebuh raya terlibat.

Penubuhan sebuah siasatan bebas ini penting supaya ia dapat meningkatkan tahap keberkesanan proses siasatan yang bakal dilakukan oleh pakar dan golongan profesional. Yang lebih penting, ia dapat memberi keyakinan kepada orang ramai  terhadap proses siasatan yang bakal dijalankan nanti. Selain itu siasatan tersebut bagi menjamin ketulusan serta mengelakkan berlakunya sebarang konflik berkepentingan yang boleh menganggu-gugat proses siasatan kelak.

Isu yang melibatkan tragedi kemalangan yang berlaku
di kawasan tapak pembinaan dalam negara kita bukan satu
isu yang jarang kita dengari. Hampir setiap tahun kita
akan didedahkan dengan isu yang sama. Oleh itu, isu yang melibatkan tahap keselamatan di tapak pembinaan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai khususnya pihak pekerja serta orang ramai yang lalu lalang berhampiran kawasan tapak pembinaan berkenaan.

Kemalangan di kawasan tapak pembinaan tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia sudah pun memiliki pelbagai  peruntukkan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi memastikan kemalangan tidak berlaku di semua tempat kerja.  Kejadian kemalangan yang berterusan berlaku dikawasan tapak pembinaan dalam negara kita menunjukkan berkemungkinan masih terdapat kekurangan dan kelemahan dalam sistem keselamatan pekerjaan di dalam negara ini.

Bagi mengelakkan kejadian yang sama dari terus berulang, adalah amat wajar serta penting bagi pihak kerajaan mempertimbangkan dengan serius bagi mewujudkan sebuah siasatan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dan golongan profesional yang bebas. Perlu diketahui aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu diberi keutamaan oleh semua pihak sama ada majikan mahu pun pekerja. Semua tempat
kerja perlu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan
melalui Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP)
1994 [Akta 514] yang telah dikuatkuasakan semenjak tahun
1994 yang lalu.

Walaupun semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, pihak majikan memainkan peranan paling utama kerana mereka adalah ketua di sesebuah tempat kerja. Seksyen 15 (1) dan (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta
514] telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap
majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk
memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan
dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kegagalan pihak majikan untuk mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] ini boleh menyebabkan majikan yang terlibat dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau 2 tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan dibawah Seksyen 19 Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514]. Perkara yang melibatkan aspek keselamatan di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Lantaran itu, ia hendaklah diberikan perhatian lebih serius dan sewajarnya bagi mengelak perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku. Pada masa yang sama, pemeriksaan secara berterusan dan konsisten perlu juga dilakukan oleh pihak penguatkuasa di semua kawasan tapak pembinaan supaya tiada pihak yang mengambil mudah isu yang melibatkan aspek keselamatan.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)