Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media berhubung Program Imunisasi Covid-19 di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MAC 2021.

SHAH ALAM –  Beberapa kategori baharu akan ditambah sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi  Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua yang bermula April depan.

Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin abu Bakar berkata, antara kategori baharu yang akan diperkenalkan adalah kumpulan barisan hadapan dalam bidang ekonomi.

Jelas beliau, penambahan ini dibuat selepas melihat tren pendaftaran fasa kedua masih  belum mencapai sasaran.

“Memandangkan pendaftaran untuk golongan sasar fasa 2 masih lagi tidak sepenuhnya maka kita telah buat keputusan untuk mendahulukan beberapa kategori yang lain.

“Ada beberapa kumpulan yang kita kategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi dan beberapa kumoulan lain yang kita persetujui di peringkat jawatankuasa semalam,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri berkenaan.

Terdahulu Khairy Jamalauddin berkata, kategori baharu itu telah dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Bagaimanapun beliau menjelaskan,  golongan sasaran seperti yang ditetapkan sebelum ini khususnya warga emas dan golongan berisiko tinggi masih menjadi keutamaan sebagai penerima vaksin fasa kedua.

“Tetapi saya ingin tegaskan bahawa buat warga emas, golongan berisiko tinggi dengan penyakit kronik dan OKU masih lagi keutamaan dalam fasa kedua” tambahnya.

Khairy berkata, pengumuman berkenaan kategori baharu penerima PICK fasa kedua itu akan dibuat pada Isnin depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast