KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan geng anak-beranak yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah stesen minyak Jalan Bentong-Karak baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dalam serbuan pada 21 Mac lalu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang baru bergiat aktif selama dua bulan di negeri itu.
Kedua-dua beranak merupakan penganggur berusia 58 tahun dan anak lelakinya berusia 28 tahun turut mempunyai tujuh rekod lampau kesalahan dadah dan satu kesalahan jenayah.
Menurut Abd Jalil, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan memperoleh bekalan dadah jenis syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di sekitar Pahang.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas sebanyak 9, 327 gram syabu bernilai RM360,000 dan kuantiti rampasan dadah boleh dibekalkan kepda 18, 655 orang pengguna.
“Polis berjaya merampas wang tunai RM 40,112 dan tiga buah kenderaan berupa Toyota Vellfire, Honda Jazz dan Volkswagen Wald yang berjumlah RM260,000.
“Hasil pemeriksaan rampasan pihak polis menemui satu karung guni berwarna putih dan terdapat 10 bungkusan plastik berwarna kehijauan bertulis Guanyinwang Refined Chinese Tea.
“Setiap satu bungkusan tersebut mengandungi 11 paket plastik berisi serbuk dan ketulan kejernihan yang disyaki dadah,” katanya pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt. Mohd Azam Ab Razak.
Hasil keputusan ujian saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek negatif dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah selama tujuh hari bermula 22 Mac sehingga 28 Mac 2021.
Kes disisasat di bawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette.