Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet (dua dari kiri) menunjukkan surat tuntutat pada sidang media berkenaan pendaftaran parti MUDA di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 25 MAC 2021.- Gambar fail.

PUTRAJAYA – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih belum menerima kertas rayuan pendaftaran parti itu.

Naib Presiden Penaja Muda, Lim Wei Jiet berkata kertas rayuan itu masih belum berada di atas meja Hamzah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum meluluskan tambahan tiga penaja baharu parti itu.

“Alasan yang diberikan pada 21 Mac adalah bahawa sebab kami ada tambah tiga lagi penaja baru untuk MUDA mereka perlu mendapatkan makluman tapisan keselamatan maknanya tiga penaja ini perlu melepasi tapisan keselamatan RoS.

“Kertas rayuan itu pun belum tiba di meja Menteri Dalam Negeri, mereka masih menunggu keputusan tapisan keselamatan,” katanya dalam sidang media di perkarangan RoS hari ini.

Justeru itu, pihaknya hari ini turut mengemukakan surat tuntutan kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan berkenaan rayuan Muda.

“Kalau mereka tidak buat keputusan dalam tujuh hari, kami terpaksa untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penaja bersama MUDA, Afiqah Zulkifli berkata, RoS hanya memaklumkan mengenai syarat penambahan penaja pada 24 Februari lalu dan pihaknya sudah memenuhi kehendak badan itu.

“Tetapi setelah 30 hari, statusnya masih di bawah ulasan keselamatan jadi kamu tertanya apa yang bahaya sangat sedangkan tiga orang itu tidak pernah pun terlibat dalam mana-mana parti politik.

“Kami serah surat tuntutan supaya mereka dan menteri buat keputusan berkenaan rayuan dalam masa tujuh hari,” katanya dalam sidang media sama.

Hamzah pada 2 Februari lalu berkata, permohonan pendaftaran MUDA ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.

Turut ditolak parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Hamzah beralasan permohonan pendaftaran itu ditolak kerana perlembagaan parti yang dikemukakan gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335 itu, dengan intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti tersebut antaranya didapati tidak teratur dan tidak spesifik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast