Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua syarikat konsesi yang terlibat dalam projek lebuh raya dalam pembinaan diarahkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya melaksanakan pemeriksaan keselamatan terperinci melalui Juruaudit Bebas.

Ini susulan arahan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya audit menyeluruh dilakukan terhadap kesemua lebuh raya dalam pembinaan pada kadar segera bagi memastikan keadaan di tapak pembinaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

Ia selaras dengan perjanjian konsesi, jika berlaku kejadian luar jangka syarikat konsesi adalah dipertanggungjawabkan untuk melantik juruaudit bebas yang akan dipantau oleh LLM.

LLM berkata, perlantikan juruaudit bebas ini perlu untuk menilai keseluruhan pematuhan prosedur operasti standard (SOP), langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan dan mengkaji punca insiden luar jangka.

”LLM juga telah diarahkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, supaya memastikan kesemua syarikat konsesi melaksanakan pemeriksaan terperinci di kesemua kawasan pembinaan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja pembinaan,” katanya dalam kenyataa di sini.

Sementara itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Lebuhraya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah melantik juruaudit bebas pada hari ini, untuk melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh di tapak pembinaan SUKE.

Juruaudit bebas ini juga dilantik untuk mengkaji punca insiden luar jangka yang telah berlaku pada 22 Mac 2021, selain siasatan yang dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Perlantikan juruaudit bebas ini adalah SOP apabila berlaku kejadian luar jangka di semua tapak pembinaan lebuh raya.

Kesemua syarikat pemaju projek lebuh raya adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesemua kontraktor dan sub-kontraktor mematuhi peraturan dan prosedur kerja yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast