Setiap kali PAU, Bob akan bermotosikal dari rumahnya di Kota Bharu ke PWTC, Kuala Lumpur. - Gambar ihsan Facebook Beng Khieu

KUALA LUMPUR – Setiap kali tiba Perhimpunan Agung UMNO (PAU), antara yang gembira dan bersemangat untuk meraikannya ialah seorang ahli akar umbi, Khairul Anua.

Dikenali dengan panggilan Bob, anak jati Kampung Cherang, Kota Bharu, Kelantan itu awal-awal lagi akan mempersiapkan kenderaannya, iaitu sebuah motosikalnya, EX5-Dream.

Motosikal itu ditunggangnya ke Kuala Lumpur bagi mengikuti PAU secara lebih dekat.

Ketika ditemui MalaysiaGazette di luar bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, wajah Bob ternyata tidak seceria seperti sebelum ini.

Khairul Anua atau Bob

Dia kelihatan sugul dan sedikit kecewa apabila tidak dibenarkan berada dalam bangunan PWTC untuk mendengar ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, beliau bertolak dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi semalam (Jumaat) dan sampai di ibu kota pada jam 5 petang.

“Biasanya perjalanan 10 setengah jam berbaloi tetapi kali saya tidak bernasib baik kerana diarah keluar dari lobi PWTC kerana pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya akur dengan larangan itu, cuma agak kecewa kerana mereka menegur pakaian saya yang dikatakan tidak sesuai untuk saya berada di dalam bangunan PWTC.

“Saya bukan perwakilan yang perlu pakai baju Melayu lengkap bersamping dan songkok. Saya pakai pakaian biasa, sebab saya hanya ahli dan penyokong UMNO,” katanya.

Menurut Bob, beliau mula berulang alik dari Kota Bharu ke PWTC setiap kali PAU sejak tahun 2014.

Katanya, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak adalah contoh pemimpin yang menaikkan semangat anak muda dan dirinya untuk bermotosikal dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menghadiri perhimpunan parti Melayu terbesar itu.

“Ketika Datuk (Seri) Najib pegang jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1987, beliau selalu anjurkan konvoi bermotosikal anak-anak muda dari negeri ke PWTC.

“Allahyarham ayah saya (Anua Mohd Adam) yang merupakan ahli seumur hidup UMNO mengurus konvoi ini dari 1987 sehingga meninggal dunia pada 2002.

“Apabila dewasa, saya mahu menyambung usahanya tetapi dengan cara sendiri iaitu bermotosikal bersendirian,” katanya yang kali keenam datang mengikuti PAU di PWTC.

Bob yang mencari rezeki dengan bekerja sendiri memberitahu, sambil datang ke PWTC, beliau ada membawa beberapa helai kain batik lepas iaitu kain semutar kepala untuk dijual.

Walaupun dia tahu PAU kali ini dikekang dengan SOP ketat tetapi mengharapkan ada yang sudi membelinya.

“Untung jualan ini boleh digunakan untuk makan minum, isi petrol motosikal untuk balik ke Kelantan pada Isnin ini,” ujarnya.

Jelas bapa kepada seorang anak itu, semangatnya kepada perjuangan UMNO tidak pernah luntur dan dua kali hadir ke Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu DUN Rantau di Negeri Sembilan dan DUN Semenyih di Selangor untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau pergi ke DUN itu dengan menunggang motosikal dari Kota Bharu dan bermalam di masjid atau surau sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi.

“Saya tidak pernah mengharapkan perhatian pemimpin parti. Saya pergi ke sana kerana semangat saya kepada parti dan mengharapkan calon BN menang.

“Saya anggap kemenangan mereka cukup berbaloi saya berulang alik dengan motosikal dari jauh,” katanya.

Ditanya apakah beliau akan terus datang ke PWTC pada PAU akan datang walaupun tidak dibenarkan masuk, Bob berkata, selagi nyawa dikandung badan, dia akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kerana dia buat surat permohonan dengan betul dan bukan p honeymoon. Rentas negeri mmg boleh jika ada permohonan dan alasan yg boleh dipertimbangkan.

Comments are closed.