Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini memaklumkan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu telah menggantung keahlian seorang ahli parti.

Perkara itu diberitahu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mana surat penggantungan itu telah diserahkan kepada individu itu hari ini.

“Saya ingin makluman bahawa seorang ahli UMNO telah digantung, saya tidak mahu sebut namanya kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan itu yang telah dihantar sebentar tadi.

“Ahli MT mengesahkan keputusan Jawatankuasa Disiplin UMNO.

“Digantung selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MT,” katanya kepada media selepas selesai mesyuarat MT UMNO malam tadi.

Ditanya sama ada ahli itu adalah seorang ahli MT, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas.

“Segala perkara itu ada salah surat berkaitan segala perlembagaan parti yang dilanggar dan sebagainya ada dalam surat yang berkaitan. Biar individu berkaitan menerima surat itu.

“Saya kira ia lebih elok jika beliau menerima surat itu (memaklumannya)” katanya.

Media awal hari ini melaporkan beberapa ahli MT akan dipecat daripada parti itu dalam mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Antara yang disebut-sebut adalah Ketua Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli MT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Dira) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Abd Aziz.

Dalam pada itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui wakil media berkata, individu yang digantung itu mungkin Tun Faisal.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media selepas pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

“Takda pecat siapa-siapa. Ada seorang kena gantung kot,” ujarnya.

Bila disebut nama Tun Faisal, beliau berkata; “I think so.”

Beliau juga membayangkan nama Tan Sri Annuar Musa, Dira dan Shahidan juga tidak disebut dalam MT.

“Seorang sahaja (digantung). Annuar Musa tiada,” kata Tajuddin.

Dira Abu Zahar ketika meninggal PWTC juga menafikan dirinya dipecat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dira Abu Zahar berjalan keluar selepas pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

“Bukan saya yang akan dipecat daripada UMNO. Saya masih ahli UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette