KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang tekad mewujudkan satu gabungan besar meliputi penyertaan sebanyak mungkin parti politik bagi memastikan hasrat mewujudkan kerajaan stabil tercapai.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut ekoran satu pertemuan diadakan semalam yang membentuk satu jawatankuasa gabungan kepimpinan PN bersama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di negeri itu.
Dalam Jawatankuasa gabungan tersebut, Pengerusi PN disandang oleh Saifuddin dan tiga Naib Pengerusi PN disandang oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng serta Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus.
Menerusi pertemuan tersebut, menurut Saifuddin, ketiga-ketiga parti bersepakat memutuskan dua program bakal dilaksanakan ialah acara sukan dan majlis hari raya pada Mei ini.
Saifudin juga dijadualkan berkunjung ke Rompin pada 9 April depan setelah menjelajah 13 kawasan Parlimen di negeri itu atas kapasitinya Pengerusi PN Pahang.
“Pendirian Bersatu Pahang pula, tentulah lebih banyak parti-parti di luar sana berada dalam kerajaan PN supaya lebih kuat dan dapat mentadbir dengan baik.
“Kita tidak boleh membuat keputusan untuk parti lain. Keputusan itu hanya boleh dibuat mengikut pucuk pimpinan parti masing-masing.
“Berusaha membuat gabungan yang kuat setiap peringkat, sama ada peringkat kebangsaan, peringkat negeri dan peringkat kawasan Parlimen,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bersatu Pahang memahami kerjasama antara Pas dan UMNO yang telah terjalin menerusi Muafakat Nasional (MN) dan pihaknya tidak mahu mencampurinya.
“Kalau di situ kelihatan ada jambatan, Bersatu Pahang tidak mahu bakar jambatan. Kalau tak pandai buat jambatan, jangan musnahkan jambatan,” kata Saifuddin.
Ditanya mengenai perbincangan melibatkan pembahagian kerusi di Pahang, Saifuddin menegaskan ia belum dirunding.
“Jangan berlunjur sebelum duduk,” katanya.- MalaysiaGazette