KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan penggantungan keahliannya selama enam tahun adalah pelik dan menimbulkan banyak spekulasi.
Beliau yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama, keputusan itu merupakan satu sejarah kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Jelasnya, ini kerana tidak pernah hukuman disiplin dijatuhkan oleh MKT ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sedang berlangsung.
“Banyak spekulasi yang dibuat. Pertama kenapa MKT semalam dipilih untuk membuat keputusan. Tidak pernah lagi dalam sejarah MKT sejak saya pegang jawatan dari zaman Pemuda UMNO sampai sekarang MKT buat keputusan disiplin ketika PAU.
“Ramai yang spekulasi mungkin hendak beri tanda atau beri sedikit peringatan kepada ahli. Yang kedua kenapa sampai enam tahun? Ramai sahabat termasuk kepimpinan UMNO rasa tempoh enam tahun itu pelik sangat.
“Ada digantung atas kesalahan lebih berat termasuk politik wang tidak ada sampai enam tahun. Ramai tanya saya dan tidak ada jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Semalam, Tun Faisal yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) digantung keahliannya dari UMNO selama enam tahun.
Surat penggantungan itu dikeluarkan selepas MKT UMNO mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti pada 8 Mac lalu.
Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan penggantungan tersebut kerana melanggar tataetika sebagai ahli UMNO.
Sebelum ini, Tun Faisal telah diarahkan mengemukakan surat jawapan balas kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Arahan tersebut berhubung kenyataan terbukanya sebelum ini yang dilihat menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Tun Faisal berkata, beliau akan membuat rayuan kerana mendakwa berlaku kekhilafan ketika MKT parti menjatuhkan hukuman tersebut.
Jelas beliau, dalam rayuannya itu, hujah-hujah akan dimasukkan dan MKT tidak boleh bergantung kepada laporan Lembaga Disiplin.
“Beri saya dua hari, saya akan sediakan surat rayuan dan rayuan itu MKT perlu meneliti semua hujah-hujah yang saya berikan dan jangan bergantung laporan Lembaga Disiplin.
“Waktu tribunal hari itu, saya rasa mendapat pendengaran yang adil. Cuma bila membuat keputusan, fakta-fakta yang saya berikan tidak dipertimbangkan dengan baik. Jadi itu pandangan saya, saya akan rayu tetapi bukan kepada Lembaga Disiplin tetapi MKT,” katanya. – MalaysiaGazette