KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menganggap poster mengenai dirinya yang tersebar dalam Dewan Merdeka ketika Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi sebagai perkara lazim yang akan berlaku dalam parti.
Pada poster itu tertera gambar Annuar serta ayat ‘Annuar Musa, Rasuah Kepada Perwakilan Untuk Sokong Usul UMNO Menjadi Kuda PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Annuar Musa Pengkhianat UMNO’.
Tanpa mengulas lanjut, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkannya sebagai masalah kecil.
“Poster itu tidak apalah, masalah kecil sahaja, orang nak buat cerita, tidak apa, saya okay.
“Masalah nak buat cerita, masalah dalaman lazimlah saya tidak mengapa. Saya boleh terimanya dengan sabar,” katanya kepada pemberita.
Pada pagi tadi, beliau menerusi akaun Facebook mendedahkan terdapat poster yang menunjukkan wajahnya dalam Dewan Merdeka.
“Pagi ini dikejutkan berita beredarnya poster seperti dalam gambar..Entah kerja siapa. Naratif rekaan siapa. Pasti ini sesuatu yang diizinkan.
“Usul menjadikan UMNO tunggangan PPBM?..Siapa nak bawa usul?bawah agenda mana?perwakilan mana yang disuruh menyokong?….
“Insaflah kita.. Budaya memfitnah ini nampaknya sudah jadi perkara biasa,” tulisnya.
Annuar merupakan antara pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pendirian Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – MalaysiaGazette