Seramai 11 individu termasuk penganjur Himpunan protes aman tuntut Undi18 dipanggil merakam keterangan oleh polis di IPD Dang wangi pada Selasa esok. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu yang terlibat dalam himpunan protes aman penangguhan pelaksanaan Undi18 di hadapan bangunan Parlimen Sabtu lalu akan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini untuk memberi keterangan.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, penganjur himpunan itu juga akan dipanggil bagi tujuan yang sama.

Sambil mengesahkan perkara itu, beliau berkata, kesemua mereka akan tampil ke Balai Polis IPD pada sebelah petang.

“Ya..11 orang yang menyertai himpunan Undi18 itu dipanggil tampil ke balai memberi keterangan esok.

“Ia termasuk penganjur himpunan pada 2.30 petang Sabtu lalu kesemua mereka akan tampil pada sebelah petang esok untuk diambil keterangan oleh polis bagi membantu siasatan,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada media hari ini.

BACA: Undi18: Peserta dan penganjur protes akan diambil keterangan

BACA: Kerajaan gagal laksana Undi18, alasan Covid-19 tak munasabah – Calvin

Antara individu yang dipanggil adalah aktivis muda dan juga Setiausaha Agung Parti MUDA, Amir Abdul Hadi bagi membantu siasatan polis.

Mana-mana pihak yang hendak berhimpun dikehendaki memberi notis lima hari sebelum acara kepada polis dan tiada permit diperlukan.

Mohamad Zainal dalam kenyataan selepas himpunan itu mengesahkan penganjur tidak memberikan notis mengenai himpunan itu dan berkumpul tanpa kebenaran polis.

Siasatan akan dijalankan ke atas mereka di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Selain itu mereka juga akan disiasat mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 iaitu apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.-MalaysiaGazette