Peserta-peserta himpunan menunjukkan plakad bantahan pada Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat tindakan sekumpulan pemuda dari Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun di luar bangunan Parlimen sebagai protes penangguhan pelaksanaan Undi18.

Kesemua peserta termasuk penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis kerana mengadakan himpunan tanpa notis kepada pihak berkuasa polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, satu siasatan telah dijalankan hari ini ke atas kumpulan berkenaan.

“Siasatan akan dijalankan ke atas mereka di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan berkenaan juga, katanya, akan disiasat mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

Ia berkaitan dengan apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua yang terlibat dalam perhimpunan 2.30 petang tadi akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Kita akan panggil kesemua mereka yang terlibat termasuk penganjur perhimpunan itu tanpa notis kepada polis.

“Kertas siasatan itu akan dilengkapkan dan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan ke atas kesemua mereka.

“Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dasar apartheid sekian lama DEB 30% untuk majoriti Melayu supaya minoriti bukan Melayu termasuk bekas pejuang PKM penceroboh tanah Melayu dari Tanah Besar China dan India serta peniaga warga asing peliknya tak ada protes pun. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah selepas sekian lama PBB tak boleh diharap.

  2. Kan dah kena….. budak2 mana tahu ada undang2 begitu. Orang tua pun tak cakap . Suka2 nak buat tak fikir terlebih dahulu

Comments are closed.