Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang digunakan untuk kakitangan di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.
SEJARAH telah membuktikan bahawa vaksin boleh melenyapkan beberapa jenis penyakit. Contohnya smallpox berjaya dihapuskan di seluruh dunia pada tahun 1980, manakala penyakit poliomyelitis telah terhenti penyebarannya di Malaysia pada Oktober 2000.
Media masa di saat ini riuh membincangkan tentang vaksin Covid-19 yang akhirnya sudah sampai ke Malaysia. Rupanya banyak perihal yang rakyat Malaysia tertanya-tanya yang memungkinkan mereka lambat membuat keputusan samada mahu menerima vaksinasi Covid-19 atau tidak.
Ada yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat kerana mereka masih khuatir walaupun sebahagian negara telah menunjukan dapatan yang baik tentang isu keselamatan vaksin ini. Penulisan ini membincangkan perihal vaksin kepada mereka yang telahpun dijangkiti Covid-19.
Antara persoalan yang sering didengari adalah seperti berikut:
a) Sekiranya kita telah mendapat jangkitan Covid-19, bolehkah kita menerima vaksin dan sekiranya dibolehkan, bilakah masanya dibenarkan untuk mengambil vaksin ini?
Setakat ini, kajian menunjukkan bahawa tiada halangan bagi pesakit yang telah dijangkiti Covid-19 untuk menerima suntikan vaksin. Malah ia sangat digalakkan. Ini adalah kerana pakar-pakar dunia telah melaporkan ada pesakit Covid-19 yang telah pulih mempunyai risiko untuk dijangkiti semula. Badan
kesihatan ternama dunia “The Centers for Disease Control’s” (CDC) umpamanya melaporkan, orang yang menghidap COVID-19 boleh mendapat manfaat daripada suntikan vaksin.
Namun begitu tempoh masa bilakah paling elok untuk mereka menerima suntikan vaksin setelah mereka benar-benar sembuh
masih lagi menjadi perbincangan di kalangan para saintis. Berikut adalah tempoh masa yang dicadangkan mengikut fakta terkini:
• Lapan minggu selepas jangkitan
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan dua fasa kajian yang dilakukan di Malaysia sebelum ini mendapati antibodi bekas pesakit Covid-19 boleh berkurangan.
Contohnya kajian bekas pesakit Covid-19 dari Kluster Sungai Lui tahun lepas mendapati tindak balas antibodi mereka adalah lebih rendah selepas tempoh lapan minggu setelah dijangkiti. Hanya 20 peratus antibodi terhasil berbanding antara 80 hingga 90 peratus yang sepatutnya dijangkakan terhasil selepas jangkitan Covid-19
Begitu juga kajian di negara China dan di UK (United Kingdom) turut melaporkan data yang serupa dimana antibodi terbina adalah kurang daripada 20 %.
• 3 bulan selepas jangkitan
Menurut Pengarah CDC Dr. Rochelle Walensky adalah sesuatu yang luar biasa bagi pesakit Covid-19 dijangkiti sekali lagi dalam tempoh 90 hari setelah mereka pulih. Ini adalah disebabkan tahap imuniti secara semulajadi meletakkan mereka lebih rendah risiko dijangkiti semula. Oleh itu pesakit boleh memilih untuk menangguhkan vaksinasi sehingga setelah 3 bulan.
• 6 bulan selepas jangkitan
Kajian ke atas orang yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan kemudian pulih telah menunjukkan bahawa antibodi mereka kekal stabil, dan hanya jatuh "sederhana" selepas enam atau lapan bulan. Ini disebabkan oleh sel B dan T yang khusus didapati meningkat dan kekal tinggi selepas jangkitan.
Daripada perbincangan di atas, paling awal adalah 8 minggu selepas jangkitan. Namun ada juga menyarankan ia boleh diambil lebih awal lagi. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor anda bagi menentukan tempoh masa yang terbaik kerana ia masih di dalam kajian.
b) Berapa lamakah imuniti semulajadi ini boleh bertahan?
Jenis vaksin yang berlainan memberikan perlindungan untuk masa yang berbeza. Ini disebabkan oleh faktor bagaimana ia dihasilkan. Ada vaksin boleh memberi perlindungan selama 30 tahun atau sepanjang hayat.
Ada yang memerlukan dos “booster” bagi meningkatkan lagi tahap immuniti dalam badan. Untuk vaksin terhadap Covid-19, pengumpulan data kajian masih sedang dijalankan. Walaupun
belum ada data jangka panjang yang konklusif mengenai tempoh keberkesanan vaksin untuk Covid-19, penyelidikan semasa menunjukkan bahawa vaksin tersebut dapat memberikan imuniti terhadap Covid-19 selama sekurang-kurangnya satu tahun dan mungkin hingga dua atau tiga tahun.
Selepas dijangkiti Covid-19, badan kita akan menghasilkan imuniti semulajadi atau ‘Natural Immunity’ di dalam badan pesakit setelah pulih. Kajian mendapati bahawa tahap imuniti ini masih boleh menghidarkan diri daripada jangkitan kali ke dua. Namun kajian mendapati bahawa antibodi semulajadi yang dihasilkan hanya boleh melindungi seseorang bagi jangka masa beberapa bulan sahaja.
Meurut kajian yang diketuai oleh Naomi Allen, ketua saintis untuk UK Biobank dan profesor epidemiologi di University of Oxford, beliau mendapati bahawa 99% pesakit yang diuji positif untuk
jangkitan sebelumnya mengekalkan antibodi selama tiga bulan selepas dijangkiti, dan 88% berbuat demikian selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Manakala kajian di Malaysia yang dilaporkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah seperti di atas, terhadap bekas pesakit Covid-19 dari Kluster sungai Lui mendapati hanya 20 peratus antibodi terhasil berbanding antara 80 hingga 90 peratus yang sepatutnya dijangkakan terhasil
selepas jangkitan Covid-19.
Oleh yang demikian bekas pesakit Covid-19 masih perlu menerima vaksin untuk mengelak jangitan seterusnya.
c) Bolehkah imuniti semulajadi ini melindungi kita daripada mendapat jangkitan Covid-19 buat kali ke dua?
Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, jawapannya tentunya boleh. Namun ia bergantung kepada tahap imuniti yang dihasilkan akibat jangkitan Covid-19 tersebut dan perbagai faktor lain.
Memang sedia maklum bahawa, tahap imuniti boleh mencapai hanya kurang 20% dalam beberapa kajian. Ini memungkinkan Covid-19 masih boleh menjangkiti kepada individu tersebut.
Salah satu faktor penentu adalah tahap keterukan semasa pesakit dijangikti Covid-19 pada mulanya.
Kita ketahui tahap jangkitan Covid-19 boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:
• Tahap 1- individu disahkan positif, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.
• Tahap 2 -individu yang positif itu mula menunjukkan gejala, tetapi gejala berkenaan terhad kepada bahagian atas sistem pernafasan.
• Tahap 3 – individu bergejala dengan radang paru-paru (symptomatic, Pneumonia)
• Tahap 4- individu bergejala, mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen (symptomatic, Pneumonia, requiring supplemental oxygen)
• Tahap 5- Pesakit kritikal dengan terkesan kepada banyak organ (critically ill with multiorgan involvement)
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan akan membuat penilaian keperluan bekas pesakit Covid-19 untuk menerima suntikan vaksin, terutama bagi pesakit yang mendapat jangkitan pada tahap satu hingga tiga.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga
memberitahu sekiranya ia membabitkan jangkitan tidak bergejala atau gejala ringan, pertahanan antibodi yang terjana mungkin tidak memadai dan harus mendapatkan dua suntikan vaksin.
Manakala bekas pesakit tahap 4 atau 5, antibodi terjana lebih kekal dan tinggi Selain daripada itu, faktor lain yang menentukan selama mana ia bertahan adalah seperti umur, comorbidity, jantina dan persekitaran.
Setakat ini tiada satu pun faktor tertentu sahaja yang ada
hubungan jelas dengan kadar imuniti dalam badan. Ada yang melaporkan kadar immunity hanya bertahan selama sebulan sahaja setelah pulih daripada jangkitan.
Kajian yang dilakukan di Amerika mendapati faktor kadar jangkitan semula adalah umur, etnik, dan status sosioekonomi. Mereka yang berumur 50 tahun ke atas secara konsisten kurang cenderung untuk dijangkiti berbanding dengan mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas.
Orang yang tinggal di kawasan yang kekurangan kemudahan infrastruktur awam juga lebih cenderung dijangkiti. Melihat kepada etnik, kajian mendapati bahawa orang-orang etnik berkulit hitam(16.3%) mempunyai kadar tinggi berbanding
Caucasia (8.5%) atau Cina (7.5%).
Peningkatan risiko ujian seropositif untuk virus di kalangan orang
berkulit hitam kekal "jauh lebih tinggi" selepas menyesuaikan diri untuk umur, jantina, kekurangan sosioekonomi, dan status bandar atau luar bandar.
Rakyat etnik Asia Selatan juga lebih cenderung untuk
menjadi seropositif berbanding dengan rakan-rakan Caucasia mereka.
Walau bagaimanapun kuat pun usaha kerajaan bagi meyakinkan rakyat, ada sahaja golongan yang masih ragu-ragu sehinggakan Majlis Fatwa negara mengeluarkan kenyataan bahawa hukum vaksin itu harus tetapi wajib bagi mereka yang patut memerlukannya.
Memang sesuatu yang agak rumit bagi kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di beri liputan vaksin. Sesungguhnya itu antara jalan akhir kita bagi memerangi pandemik Covid-19 yang hamper boleh “menjahamkan”
kesejahteran, kekayaan dan peradaban sosial masyarakat dunia.
Diharap penerangan ini dapat memberi gambaran yang baik supaya bekas pesakit Covid-19 sudi menerima vaksin walaupun badan telahpun menghasilkan antibodi tersendiri. Mahupun begitu, tahap antibodi tersebut tidak mencukupi bagi
melindungi mereka daripada mendapat jangkitan Covid-19 berikutnya seperti yang dibincangkan di atas.
Oleh: Professor Madya Dr Mohd Radzniwan A.Rashid

Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan
Dr Nuruliza binti Roslan
Timbalan Pengarah Institut Sains Islam Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan