KUALA LUMPUR – Tuduhan yang dilemparkan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung pelaburan asing negara adalah tidak berasas dan mengelirukan.
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, Johari tidak mempunyai data yang tepat untuk menyokong hujahnya di dalam perbahasan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) semalam.
Beliau berkata, Johari telah memetik angka-angka dan statistik yang dilihat tidak menyeluruh dan selektif dengan niat untuk memperkecilkan usaha dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional khususnya menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Selaku bekas Menteri Kewangan II dan Ahli Parlimen yang telah ditolak dalam Pilihan Raya lalu kerana skandal 1MDB, beliau harus lebih tahu tentang situasi kini yang dihadapi oleh negara dalam mendepani krisis ekonomi global yang kian mencabar.
“Beliau tidak harus menipu diri sendiri dan sepatutnya keluar daripada tempurung untuk melihat dan mendalami visi strategik kerajaan dalam memajukan agenda pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Afif, aspirasi kerajaan PN adalah memastikan Malaysia
menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, “high-income nation” dalam tempoh lima tahun mendatang.
Usaha ini katanya, menuntut kebijaksanaan pentadbiran
negara pada hari ini untuk bersikap selektif dalam memastikan projek-projek pelaburan asing ke dalam Malaysia berimpak dan bernilai tinggi serta merangkumi elemen berteknologi tinggi sejajar dengan transformasi digital dan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang pada akhirnya akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu berkualiti untuk ditawarkan kepada
rakyat.
“Apakah beliau mahu negara kita menjadi ‘dumping ground’ akibat menerima segala bentuk projek pelaburan asing yang tidak berkualiti dan bermanfaat kepada agenda pembangunan ekonomi negara?
“Adakah kita mahu berterusan bergantung kepada kemahiran tenaga buruh asing untuk mempelopori dalam projek-projek pelaburan yang tidak berimpak tinggi seperti mana yang berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional terdahulu,” ujarnya.
Justeru, Afif menasihatkan Johari agar tidak meneruskan amalan dan tabiatnya dari dulu yang terus mahu berbohong dan mengelirukan rakyat dengan berkongsi fakta-fakta separa benar selain menidakkan segala usaha dan ikhtiar kerajaan dalam mencerdaskan semula prestasi pelaburan dan ekosistem
ekonomi negara dalam mendepani cabaran ekonomi global dan krisis pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette
Pemimpin umno dok bohong rakyat lama dah…
Hakikatnya skandal 1MDB adalah benar sebenar benarnya mmg berlaku. Tapi depa dok bohong rakyat kata ianya hanya fitnah nk menjatuhkan pokjib.
Alhamdulillah, kerajaan dh dpt balik sebahagian duit dari penyelewengan tersebut.