KUALA LUMPUR – Petronas Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan penemuan minyak dan gas baharu secara kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Sirung-1 di Blok SK405B (PSC), yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 237 kilometer di lepas pantai Miri, Sarawak.

Firma itu dalam satu kenyataan berkata, telaga eksplorasi Sirung-1 berjaya digerudi hingga kedalaman 2,538 meter pada Februari 2021.

“Penemuan tiang minyak dan gas yang signifikan – melebihi 100 meter di dalam takungan batu pasir Oligosen hingga Miosen Tengah – selanjutnya mengesahkan potensi wilayah Balingian, dengan masih ada prospek yang belum diteroka,” katanya.

Petronas mengatakan, PTTEP Sarawak Oil Ltd, sebagai pengendali memegang 59.5 peratus, MOECO Oil (Sarawak) Sdn Bhd memegang 25.5% dan Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, memegang baki 15% kepentingan penyertaan di Blok SK405B.

PSC ditandatangani pada bulan November 2017 hasil daripada Pusingan Tawaran Malaysia (MBR) 2015.

Naib Presiden Eksplorasi dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan Sirung-1 membuktikan kehadiran minyak, terutama dalam di lokasi yang lebih dalam, belum diteroka di wilayah Balingian.

“Hasil ini selepas kejayaan serupa di Medan D18, Kami berada dalam posisi yang baik untuk meneruskan penerokaan serupa di dua blok lain di wilayah yang sama, iaitu Blok SK411 dan SK306,” katanya yang optimis dengan aktiviti penerokaan pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast