Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun memberi bayangan kerajaan tidak yakin dengan keupayaan generasi muda.

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan seolah-oleh tidak mempercayai generasi muda mampu bertindak matang.

Kata beliau, penggunaan perkataan seperti demokrasi hanya lantang kedengaran pada masa-masa tertentu dan ia bukan kebebasan seperti yang dicanang.

“Sebenarnya demokrasi itu bermaksud memberi kepercayaan dan kebebasan kepada pengundi untuk membuat keputusan mereka sendiri dan ianya terpulang kepada individu itu.

“Janganlah kita gunakan konsep seperti Undi 18 ini hanya untuk tujuan tertentu dan apabila ianya seperti sudah tidak ada kepentingan kepada segelintir itu, ianya seperti sudah tidak berguna lagi,” katanya

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupnya pada Forum Demokrasi Malaysia anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) yang bertemakan ‘Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia’ di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Najib berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 sepatutnya dihormati kerana ia telah mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen.

“Hakikatnya tindakan pusingan U oleh kerajaan seperti tidak menghormati sistem demokrasi berperlembagaan di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette