SARAH (bukan nama sebenar), masuk ke bilik konsultasi doktor sambil memegang bahagian bawah perutnya. Wajahnya berkerut-kerut, dahinya berkeringat, sesekali dia menyeringai seakan-akan menahan sakit. Katanya, setiap bulan dia akan mengalami gejala yang serupa sejak beberapa tahun yang lepas, cuma kali ini sakitnya bertambah kuat sehinggakan dia tidak dapat untuk menjalankan aktiviti hariannya seperti biasa.
Sakit yang bermula beberapa hari sebelum didatangi haid, pendarahan yang banyak sewaktu kedatangan haid dan sesekali kesakitan itu datang sewaktu hendak membuang air kecil dan air besar biasanya dapat dikurangkan dengan memakan ubat tahan sakit.
Namun bagi mendapatkan diagnosis yang lebih tepat, Sarah menguatkan semangatnya untuk bertemu dengan doktor. Antara punca yang boleh mengakibatkan gejala seperti yang dialami oleh Sarah adalah masalah endometriosis.
Endometriosis merupakan penyakit di mana lapisan tisu yang biasanya terdapat di bahagian dalam rahim – yang dikenali sebagai endometrium – turut ‘tumbuh’ di bahagian luar rahim. Masalah ini biasanya melibatkan ovari, tiub fallopian dan tisu-tisu yang menjadi lapisan dalam bahagian pelvis. Terdapat juga kes terpencil yang mana
tisu endometrium ini dijumpai di luar organ pelvis.
Bersempena dengan Bulan Kesedaran Endometriosis yang bermula pada tahun 1993
ini, marilah kita sama-sama mengenali dan mengetahui sedikit sebanyak tentang penyakit ini. Penyakit ini melibatkan 10% daripada wanita seluruh dunia, kira-kira 1 dalam 10 wanita akan menghidap penyakit ini.
Ianya bukan sahaja memberi kesan fizikal terhadap mereka yang mengalami gejalanya sahaja, malah ia boleh mengakibatkan gangguan atau tekanan mental dan emosi, mengganggu produktiviti dalam aspek sosial dan ekonomi serta boleh mengakibatkan tekanan dalam perhubungan suami isteri dan keretakan rumah tangga.
Dalam kitaran haid yang biasa, endometrium akan menebal sewaktu kitaran haid, dan akan luruh sebagai darah haid. Tetapi bagi pesakit yang menghidap endometriosis ini, tisu
endometrium yang terdapat di bahagian luar rahim ini turut menebal dan luruh, namun ia
tiada ‘jalan keluar’ dan terperangkap di ruang di dalam pelvis.
Situasi sebegini akan menyebabkan sel-sel tisu di bahagian tersebut mengalami keradangan, kadangkala menyebabkan terhasilnya parut dan lekatan yang disebabkan oleh kumpulan tisu berhubung yang lebih dikenali sebagai adhesions yang mengakibatkan tisu dan organ di bahagian pelvis untuk ‘bersambung’ di antara satu sama lain.
Selain daripada kesakitan, gejala lain yang berpunca daripada endometriosis ini termasuklah masalah ketidaksuburan. Faktor risiko yang dikaitkan dengan endometriosis termasuklah usia kedatangan haid yang awal, tidak pernah melahirkan anak, kitaran haid yang pendek, pendarahan yang banyak sewaktu haid melebihi tujuh hari, sistem organ reproduktif yang tidak normal dan terdapat saudara-mara rapat (ibu, ibu saudara ataupun adik beradik perempuan) yang turut menghidap endometriosis.
Antara komplikasi utama yang sering dikaitkan dengan endometriosis adalah masalah
ketidak suburan. Kira-kira satu pertiga sehingga satu perdua daripada mereka yang
menghidap penyakit ini menghadapi masalah untuk mengandung.
Oleh itu, adalah penting bagi seseorang wanita yang menghadapi gejala seperti yang diterangkan di atas untuk mendapatkan nasihat doktor agar diagnosis dan rawatan awal dapat dibuat, sekali gus mengelakkan komplikasi di masa akan datang.
Terdapat beberapa modaliti rawatan untuk penyakit ini, dan biasanya ianya
melibatkan ubat-ubatan atau pembedahan. Rawatan yang akan disarankan oleh doktor biasanya bergantung kepada tahap keseriusan gejala dan tanda yang dialami, dan sama ada pesakit masih mahu menambah ahli keluarga.
Biasanya rawatan dimulakan secara konservatif dengan ubat-ubatan dan mungkin ditambah dengan hormon dahulu dan sekiranya tidak berkesan, pembedahan mungkin terpaksa dilakukan.
Jenis pembedahan juga bergantung kepada tahap keseriusan penyakit yang dihadapi, sama ada secara laparoskopik atau pembedahan abdomen, sama ada hanya membuang tisu yang tertentu atau terpaksa melakukan pembedahan yang lebih radikal.
Sekiranya ada di antara kita yang diuji dengan penyakit sebegini atau komplikasi akibatnya, mungkin ada keperluan untuk turut mencuba langkah yang mungkin dapat membantu mengurangkan kesakitan seperti mandian air suam atau menggunakan pad pemanas bagi melegakan kesakitan dan kekejangan pada otot pelvis.
Kadang kala ubat tahan sakit yang boleh dibeli di farmasi juga boleh digunakan untuk membantu mengurangkan kesakitan. Dapatkan nasihat dari doktor anda sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Walau apapun penyakit yang menimpa diri seseorang itu, berusahalah untuk mencari
penawarnya. Yakinlah dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah tidak
menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”
Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM