GEORGE TOWN – Para penyelidik dicabar untuk menghasilkan vaksin untuk manusia sebagai langkah persediaan negara menghadapi pandemik baharu pada masa akan datang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi tempoh selama 10 tahun untuk menghasilkan vaksin berdasarkan negara mempunyai kemampuan terhad dalam menghasilkan vaksin Covid-19.
Jelasnya, kerajaan memperuntukan geran sebanyak RM5 juta kepada Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia untuk membangunkan vaksin Covid-19 dan ia berada pada peringkat pra-klinikal.
“Kita letak ini sebagai satu cabaran kepada penyelidik bagi menghasilkan vaksin bagi kegunaan manusia dalam tempoh berkenaan.
“Ini kerana berdasarkan penyelidikan kita Covid-19 bukanlah pandemik yang terakhir dan mungkin akan ada lagi pandemik atau epidemik datang daripada zoonotik virus dan kita semua perlu bersedia menghadapinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Kolaborasi Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) Universiti Sains Malaysia di Bukit Jambul di sini hari ini. – MalaysiaGazette